EKONOMI > BERITA

MBSA NAFI TAWAR IKLAN HARTANAH DI FACEBOOK

24/07/2024 04:06 PM

SHAH ALAM, 24 Julai (Bernama) -- Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menafikan pihaknya terlibat dengan tawaran iklan hartanah yang diiklankan oleh pihak tidak bertanggungjawab di laman Facebook.

MBSA dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menerima aduan dan pertanyaan daripada orang ramai selepas iklan jualan hartanah yang menggunakan logo MBSA itu tular di media sosial.

"Pihak MBSA ingin menegaskan bahawa MBSA sama sekali tidak terlibat dengan sebarang iklan hartanah atau jual beli rumah di aplikasi Facebook yang menggunakan logo MBSA.

“Selain itu, pihak MBSA juga tidak mempunyai sebarang kaitan dengan akaun Facebook yang menggunakan nama Shah Alam Majlis Perbandaran," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan saluran media sosial rasmi MBSA adalah Facebook (@shahalamcitycouncil), Instagram (@sacitycouncil), Twitter (@sacitycouncil) dan Tiktok (@sacitycouncil).

Sehubungan itu, MBSA menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan iklan yang mengelirukan dan palsu serta menggunakan logo atau nama pihak berkuasa tempatan itu tanpa kebenaran di platform media sosial.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan