EKONOMI > BERITA

99 Holdings Meterai Perjanjian Taja Jamin Bagi Penyenaraian IPO Di Pasaran Utama

26/07/2024 05:23 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) memeterai perjanjian taja jamin dengan CIMB Investment Bank Bhd, Affin Hwang Investment Bank Bhd, dan RHB Investment Bank Bhd untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama.

Dalam satu kenyataan hari ini, 99 Holdings berkata ia menyasarkan untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada suku ketiga 2024.

Penyenaraian IPO yang melibatkan sehingga 1.43 bilion saham biasa (saham IPO) itu merangkumi penjualan sehingga 1.03 bilion saham sedia ada (saham tawaran) dan terbitan awam 400 juta saham biasa baharu.

Tawaran institusi terdiri daripada 1.22 bilion saham IPO mewakili 14.5 peratus daripada saham terbitan syarikat yang diperbesarkan, dan tawaran runcit terdiri daripada 210 juta saham mewakili 2.5 peratus daripada saham terbitan yang diperbesarkan.

99 Holdings berkata bagi penawaran institusi, 1.05 bilion akan ditawarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, manakala 168 juta lagi akan ditawarkan kepada Institusi Malaysia dan pelabur terpilih.

“Daripada 210 juta saham, 168 juta akan dikhaskan untuk permohonan oleh rakyat Malaysia melalui pengundian, sebanyak 84 juta disediakan untuk permohonan warga Bumiputera, syarikat, koperasi, pertubuhan dan institusi, manakala 42 juta saham akan dikhaskan untuk pengarah, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan 99 Holdings dan anak syarikatnya,” katanya.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings Lee Thiam Wah berkata perjanjian taja jamin runcit itu menandakan peristiwa penting bagi syarikat itu dan membawa kepada penyenaraian di Bursa Malaysia.

“Kami teruja untuk memulakan fasa pertumbuhan kami. Dengan memanfaatkan pasaran modal, kami boleh mempercepatkan pelan pengembangan dan seterusnya meningkatkan rangkaian kedai untuk mengembangkan operasi kami di Malaysia.

“Langkah demikian akan mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai peruncit rantaian pasaran mini terbesar di Malaysia, meningkatkan pengiktirafan jenama kami di rantau ini, memacu penglibatan pengguna dan membolehkan orang ramai mengambil bahagian dalam pertumbuhan syarikat,” katanya.

CIMB Investment Bank akan menjadi penaja jamin pengurusan tunggal, di samping menjadi penaja jamin keseluruhan tawaran runcit IPO itu bersama-sama Affin Hwang Investment Bank dan RHB Investment Bank.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan