EKONOMI > BERITA

Kemasik Marketing Sasar Jual Minyak Masak Sofea Bernilai RM500,000 Sebulan

30/07/2024 06:00 PM

IPOH, 30 Julai (Bernama) -- Kemasik Marketing Sdn Bhd menyasar meraih nilai jualan sebanyak RM500,000 sebulan daripada produk keluaran terbaharunya minyak masak tempatan yang menggunakan jenama Sofea.

Pengarahnya, Amirul Haizi Othman berkata sasaran itu boleh dicapai kerana syarikat tersebut berupaya menghasilkan kira-kira 120 tan metrik minyak masak setiap bulan.

Beliau berkata sebagai permulaan, minyak masak botol seberat dua dan lima kilogram berkenaan dijual di sekitar Perak sahaja bermula bulan ini sebelum menyasarkan pasaran ke seluruh negara.

"Kita telah memperoleh pensijilan halal dan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI). Pada masa kini, kita giat melaksanakan pelbagai promosi di peringkat daerah dengan menyasarkan pasar pagi dan pasar tani untuk memperkenalkan produk minyak masak tersebut kepada orang ramai.

"Sebelum minyak masak ini dijual di pasaran, ia turut digunakan oleh pengusaha restoran terkenal di sekitar Perak sejak tiga bulan lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian produk  berkenaan yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Salbiah Mohamed di sini, hari ini.

Amirul Haizi berkata, minyak masak itu diperbuat daripada olein sawit yang ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) berkualiti tinggi selain mempunyai vitamin E dan tiada kolestrol, menjadikannya medium menggoreng dan memasak yang terbaik dalam industri makanan.

Sementara itu, Salbiah dalam ucapannya berkata usahawan di negeri ini boleh mendapatkan bantuan dari segi khidmat nasihat, bantuan pembiayaan dan latihan keusahawanan untuk mengembangkan perniagaan mereka. 

"Bantuan berbentuk geran serta pinjaman mudah tanpa faedah diberikan bertujuan meringankan beban syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan