EKONOMI > BERITA

Ringgit Dijangka Terus Naik Pada Separuh Kedua 2024 - MIDF

02/08/2024 11:57 AM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- MIDF Amanah Investment Bank Bhd mengunjurkan ringgit akan terus meningkat pada separuh kedua 2024 berikutan mata wang itu telah mengukuh melepasi paras RM4.60, berpotensi mengakhiri tahun ini pada RM4.43 (akhir 2023: RM4.59).

Menurut bank itu, kemasukan semula dana asing di pasaran sedang pesat membangun, didorong oleh jangkaan pengurangan Kadar Dana Persekutuan Rizab Persekutuan (Fed) dan perbezaan faedah yang mengecil, dijangka meningkatkan mata wang serantau, termasuk ringgit.

“Bagaimanapun, disebabkan kekuatan dolar AS yang berpanjangan, kami menjangka ringgit akan menokok secara purata pada RM4.64 tahun ini (purata 2023: RM4.56).

“Walaupun kami optimis mengenai kenaikan ringgit pada akhir 2024, kami tetap berwaspada dengan potensi risiko penurunan, terutama daripada faktor luaran,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

MIDF Amanah berkata mata wang tempatan itu meningkat 2.8 peratus bulan ke bulan kepada RM4.591 pada Julai 2024, mengakhiri penurunannya pada separuh pertama 2024 dan meningkat sedikit berbanding dolar AS (0.1 peratus tahun setakat ini).

Menurutnya pengukuhan meluas ringgit sepanjang bulan ini adalah seiring dengan kelemahan beransur-ansur dolar AS berikutan jangkaan yang meningkat terhadap penurunan kadar Fed.

"Prestasi ringgit berbanding dolar AS melebihi dengan ketara kebanyakan mata wang serantau lain, disokong oleh asas ekonomi yang teguh dan minat asing baharu di pasaran ekuiti domestik," katanya.

Dalam pada itu, MIDF Amanah berkata pertumbuhan lemah di China dan Amerika Syarikat (AS) serta ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, boleh menjejaskan pemulihan perdagangan luaran Malaysia, sekali gus mengurangkan sokongan terhadap ringgit.

“Tambahan pula, kekuatan berterusan dolar AS, terutama sekiranya Fed menangguhkan penurunan kadar, yang mungkin disebabkan inflasi yang terus meningkat atau pertumbuhan ekonomi AS yang lebih kukuh berbanding jangkaan, akan turut menjejaskan prospek kenaikan nilai ringgit,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan