EKONOMI > BERITA

Jualan Proton Pada Julai Melonjak 37.3 Peratus, Tertinggi Sejak Sept 2022

02/08/2024 01:08 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Proton Holdings Bhd (Proton) menjual 15,103 unit kereta pada Julai, mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 37.3 peratus berbanding bulan sebelumnya, angka tertinggi sejak September 2022 bagi pasaran domestik dan eksport.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata Julai menjadi bulan jualan terbaik untuk Proton pada 2024 setakat ini, menetapkan arah bagi separuh kedua tahun 2024 yang produktif.

"Banyak rancangan yang sedang dirangka akan dilaksanakan dalam bulan-bulan akan datang, dimulakan dengan pelancaran Proton X70 2025 pada bulan Ogos.

"Pada masa yang sama, kerja asas untuk pelancaran model EV pertama Proton juga sedang dijalankan dengan pantas sebagai persediaan untuk pelancaran EV pertama Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Proton jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) adalah sebanyak 88,799 unit.

"Jumlah volum industri (TIV) untuk bulan itu dianggarkan sebanyak 73,761 unit, meningkat sebanyak 27.1 peratus berbanding bulan sebelumnya, manakala bahagian pasaran Proton pada Julai meningkat kepada 20.5 peratus," katanya.

Pengeluar kereta nasional itu berkata Proton Saga menerajui pertumbuhan jualan bagi Julai.

"Sebanyak 7,855 unit terjual pada Julai, yang merupakan pencapaian terbaik untuk model tersebut sejak Oktober 2013. Ini membawa jumlah jualan YTD untuk Saga kepada 42,693 unit, yang merupakan 8.8 peratus lebih tinggi daripada jualan pada 2023 dan menetapkannya untuk tahun jualan yang cemerlang.

"Proton X50 mencatatkan jualan terbaiknya dalam tahun ini dengan sebanyak 2,585 unit terjual pada Julai, menjadikan jumlah jualan YTD kepada 12,789 unit. Sementara itu, Proton Persona juga mencatatkan jualan terbaiknya pada 2024 dengan 1,911 unit terjual, menjadikan jumlah jualan YTD sebanyak 11,664 unit," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan