EKONOMI > BERITA

Sasaran Realistik, Malaysia Di Landasan Capai Status Pendapatan Tinggi

02/08/2024 03:38 PM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Sasaran Malaysia untuk mencapai status berpendapatan tinggi disifatkan sebagai realistik bersandarkan trajektori pertumbuhan kukuh, kestabilan ekonomi serta keyakinan pelabur yang ketara.

Ketua Ahli Ekonomi IQI Global Shan Saeed berkata pertumbuhan ekonomi negara ini akan dipacu oleh sumbangan negeri-negeri utama seperti Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dalam tempoh tiga hingga enam tahun lagi.

“Selangor pada masa ini menyumbang sebanyak 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Sarawak pula diunjur meningkat dan menjadi penyumbang utama ekonomi manakala Pulau Pinang kekal sebagai hab pembuatan,” katanya kepada BERNAMA.

Beliau juga menjangkakan pertumbuhan KDNK Malaysia dalam julat 4.0-5.0 peratus dalam tempoh tiga hingga lima tahun, didorong oleh pengukuhan ringgit yang diunjur sekitar RM4.10 hingga RM4.40 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

“Defisit belanjawan kekal di bawah paras 3.5 peratus dengan dasar fiskal yang lebih disiplin,” katanya.

Shan juga berpendapat pertumbuhan dalam sektor-sektor seperti teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), minyak dan gas (O&G), hartanah, elektrikal dan elektronik (E&E) dan logistik akan menyokong usaha Malaysia mencapat status sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

Malah, Malaysia juga merupakan penggiat penting dalam pasaran E&E dengan eksport ke negara-negara seperti China, AS, Singapura, Hong Kong dan Jepun.

Pada masa sama, sektor O&G terus menjadi keutamaan untuk ekonomi negara ini dengan ekosistem kukuh bagi menyokong rantaian nilai peringkat domestik dan serantau.

Di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Malaysia menyasarkan menjadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030 dan muncul sebagai hab ICT dinamik di Asia Tenggara.

Baru-baru ini, Ketua Ekonomi Bank Dunia Malaysia Apurva Sanghi berkata lima negeri di Malaysia iaitu Selangor, Sarawak, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Labuan dan Kuala Lumpur, telah melepasi ambang berpendapatan tinggi 2023 sebanyak US$14,005 (US$1=RM4.56).

Menerusi hantarannya di X, beliau berkata Kuala Lumpur misalnya mencatat pendapatan negara kasar (GNI) per kapita tertinggi iaitu US$29,967, diikuti oleh Labuan (US$19,117), Pulau Pinang (US$16,660), Sarawak (US$16,650) dan Selangor (US$14,291).

Negeri dengan GNI per kapita terendah pula adalah Kelantan (US$3,850), Perlis (US$5,490) dan Kedah (US$6,027).

Beliau berkata Malaysia berupaya mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2030, sekali gus menekankan keperluan pembaharuan lebih pantas bagi melonjakkan anjakan itu.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli baru-baru ini menyatakan Malaysia mampu mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2027 sekiranya ekonomi negara tumbuh 4.0-5.0 peratus setiap tahun manakala ringgit mengukuh pada paras sekitar RM4.20 berbanding dolar AS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan