EKONOMI > BERITA

Ikhlas.com Sasar Bawa Lebih 200,000 Jemaah Umrah 1446H

04/08/2024 08:12 PM

SEPANG, 4 Ogos (Bernama) -- Ikhlas Com Travel and Umrah Sdn. Bhd. (ikhlas.com), cabang perniagaan mesra Muslim di bawah Capital A, menyasarkan untuk menerbangkan lebih 200,000 jemaah umrah bagi tahun 1446 Hijrah.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com Ikhlas Kamarudin berkata pihaknya berjaya membawa lebih 110,000 jemaah umrah pada tahun 1445 Hijrah.

“Kami yakin sasaran itu boleh dicapai kerana kini kami memberikan pilihan kepada jemaah umrah untuk mendarat di Madinah atau Jeddah (Arab Saudi), sebelum ini kami hanya terbang ke Jeddah dari Kuala Lumpur.

“Dengan dua penerbangan seminggu ke Madinah, ikhlas.com mampu menawarkan pilihan yang lebih selesa dan mampu milik untuk lebih ramai tetamu dan jemaah Malaysia serta serantau mengerjakan umrah,” katanya kepada media selepas menyaksikan penerbangan sulung AirAsia X dari Kuala Lumpur (KUL) ke Madinah (MED), di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Capital A Datuk Kamarudin Meranun.

Selain itu, Ikhlas berkata pihaknya yang menambah baik perkhidmatan seperti waktu penerbangan yang membolehkan jemaah sampai di Tanah Haram selepas waktu daftar masuk ke hotel, juga akan menjadi daya penarik untuk orang ramai memilih pakej yang ditawarkan.

“Maksudnya mereka (jemaah umrah) lebih mudah daftar masuk ke hotel sebaik tiba ke Tanah Haram, dan tidak perlu tunggu lama di lapangan terbang atau lobi hotel,” katanya.

Sempena meraikan penerbangan sulung berkenaan, ikhlas.com turut menawarkan promosi ‘Sama-Summer Umrah’ dengan diskaun sehingga RM1,000 bagi setiap tempahan untuk tetamu empat orang atau diskaun RM500 bagi setiap tempahan untuk dua orang mulai 1 hingga 31 Ogos 2024.

Tetamu juga boleh menempah pakej harga berpatutan umrah ikhlas.com bermula dari RM4,990 untuk Umrah Super Economy; RM6,490 untuk Umrah Economy; RM7,390 untuk Umrah Standard atau RM8,090 untuk Umrah Premium, kata Ikhlas.

Sementara itu, Kamarudin berkata pihaknya merancang memberi peluang kepada pelangganya untuk menukarkan mata ganjaran di bawah program kesetiaan, airasia move, kepada pakej umrah di bawah ikhlas.com.

“Kita ada program kesetiaan yang memberi sistem mata (ganjaran), jadi mungkin selepas ini pelanggan akan pergi umrah secara percuma, dengan cara menukar mata (ganjaran) untuk menunaikan umrah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan