EKONOMI > BERITA

Skim CRESS Pacu Kapasiti TBB, Capai Sasaran 70 Peratus Menjelang 2050

06/08/2024 06:03 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) – Kalangan ahli ekonomi dan penggiat industri menyifatkan skim Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) sebagai penting dan sejajar dengan aspirasi Malaysia meningkatkan kapasiti tenaga itu kepada 70 peratus menjelang 2050.

Malah, mereka juga berpendapat CRESS akan mentransformasi struktur kos elektrik Malaysia, memacu manfaat ekonomi secara ketara dan mempercepat peralihan daripada bahan api fosil kepada tenaga boleh baharu (TBB).

Kerajaan akan memperkenalkan CRESS mulai September ini dalam usaha meningkatkan akses syarikat korporat kepada bekalan elektrik hijau.

Pada masa ini, kapasiti TBB negara sebanyak 25 peratus hanya menyumbang enam peratus daripada jumlah penjanaan elektrik.

Felo Kanan dan Pengarah Program Pengajian Ekonomi di Institut Jeffrey Cheah di Asia Tenggara Universiti Sunway Prof Dr Yeah Kim Leng berkata skim itu akan melengkapkan lagi pelan penstrukturan semula Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi mencapai sasaran 2050.

“Kos TBB yang dibekalkan oleh pemain (penjana) bebas dijangka menjadi lebih kompetitif berbanding TNB, pengendali grid nasional dan sejajar dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan bahagian TBB melalui pelbagai sokongan, termasuk insentif fiskal dan kewangan," katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata firma yang membeli tenaga hijau di bawah CRESS mungkin tidak dapat melihat penjimatan serta-merta kos elektrik.

“Namun, ketika penjana bebas TBB memajukan teknologi solar, mencapai keuntungan dari segi ekonomi dan meningkatkan kecekapan pengurusan, aspek kos ini akan menjadi lebih kompetitif.

“Faktor utamanya adalah mengurangkan jejak karbon korporat bagi memenuhi keperluan kemampanan pelanggan dan mengelak cukai karbon rentas sempadan seperti Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon Kesatuan Eropah yang berkuatkuasa pada 2026," katanya.

Sementara itu, syarikat kejuruteraan teknologi hijau, Itramas Corporation Sdn Bhd menyambut baik CRESS yang dilihat sebagai paparan langkah kemajuan bagi Malaysia dan industri TBB.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lee Choo Boo berkata CRESS membuka pelaburan besar dalam sektor TBB yang seterusnya menjadi pengupaya utama bagi pertumbuhan sektor digital.

“Skim ini membolehkan sektor swasta untuk turut terlibat secara meluas, sekali gus membantu kerajaan dalam mempercepat pertumbuhan ekonomi digital dan hijau.

“Berbanding dengan inisiatif lain bagi menyokong industri TBB, CRESS sebaliknya tepat dari segi membolehkan usaha peningkatan penjanaan tenaga hijau,” katanya kepada Bernama.

 

ISU TENAGA BOLEH BAHARU

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia Piarapakaran S yang juga CEO Centre for Water and Energy Sustainability, menyuarakan kebimbangannya mengenai TBB yang disifatkannya sebagai terputus-putus atau ‘tenggelam timbul.’

Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan perincian CRESS yang lebih jelas dalam memastikannya tidak hanya dari segi mengguna semula loji janakuasa TBB sedia ada, tetapi turut menggalakkan pembangunan baharu.

“Tanpa menangani isu ini, berkemungkinan wujudnya peningkatan risiko operasi kepada grid selain kos tidak perlu untuk pengguna," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menekankan aspek potensi bebanan pada grid dan kepentingan mekanisme yang telus dalam pengurusan risiko berkaitan.

CRESS, yang diumumkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) baru-baru ini, membolehkan penjana TBB dan pengguna korporat yang layak mendapatkan sumber tenaga itu secara langsung daripada pembekal dengan akses pihak ketiga kepada grid elektrik sedia ada yang menyertai pasaran perjanjian penghantaran dipertingkatkan baharu.

Pada masa ini, syarikat boleh memenuhi komitmen elektrik hijau mereka dengan memasang sistem fotovoltan solar melalui program Pemeteran Tenaga Bersih dan Penggunaan Sendiri, membeli sijil TBB melalui Malaysia Green Attributes Trading System (mGATS) atau melanggan Tarif Elektrik Hijau (GET).

Selain itu, pada 31 Ogos 2022, kerajaan juga telah memperkenalkan Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) untuk membantu syarikat mencapai komitmen ESG melalui pembelian elektrik hijau secara maya.

Mengulas caj yang dikenakan ke atas akses pihak ketiga terhadap grid di bawah CRESS, Yeah dan Piarapakaran berkata ini juga kekal sebagai pertimbangan yang kritikal.

Mereka berdua sependapat mengenai keperluan mewujudkan caj yang berpatutan dan telus bagi memastikan kemampanan pertumbuhan sektor TBB tanpa mengenakan kos tersembunyi ke atas pelanggan.

“Ketika Malaysia memulakan perjalanan bermakna ke arah masa depan lebih hijau, kejayaan pelaksanaan CRESS ini akan menjadi teras dalam menseimbangkan pertumbuhan ekonomi, kemampanan alam sekitar dan keterjaminan tenaga,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan