EKONOMI > BERITA

Cyberjaya Kekal Jadi Tarikan Pusat Data Hiperskala

06/08/2024 06:19 PM

Oleh Samantha Tan

CYBERJAYA, 6 Ogos (Bernama) -- Cyberjaya yang merupakan lokasi pilihan dalam pelaburan teknologi, masih kekal menarik untuk pusat data hiperskala, dengan beberapa lagi pemain industri itu akan melabur di sini tidak lama lagi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview Sdn Bhd Kamarul Ariffin Abdul Samad.

Beliau berkata sehingga kini, bandar itu menjadi lokasi kepada 15 pusat data yang terdiri daripada pusat data komersial dan kaptif termasuk hiperskala, yang mana pengendalinya termasuk Equinix, Bridge Data Centre, EdgeConneX, Microsoft dan NTT.

"Kami masih menerima banyak pertanyaan daripada banyak pusat data dan ini menunjukkan Cyberjaya adalah lokasi pilihan untuk pengendali pusat data. Saya tidak boleh mendedahkannya sekarang kerana ia masih dalam perundingan. Kami akan membuat pengumuman pada masa yang sesuai," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

 Beliau ditemui di majlis pecah tanah kampus kedua Vantage Data Centres (KUL2) di sini, yang dirasmikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Kamarul Ariffin berkata dengan meningkatnya kesalinghubungan, automasi dan pemprosesan data secara besar-besaran, pusat data yang merupakan tulang belakang ekonomi digital menyumbang secara langsung kepada peningkatan infrastruktur digital keseluruhan.

Beliau berkata dalam memastikan pelabur seperti Vantage Data Centre mendapat sokongan yang baik, Cyberview menyediakan elemen-elemen yang diperlukan termasuk meningkatkan dan mengoptimumkan infrastrukturnya.

"Beberapa pusat data yang akan dibuka di Cyberjaya sudah sedia dengan kecerdasan buatan (AI). Beberapa pusat ini yang sedang dibina di sini turut membangunkan pusat data AI supaya ia boleh bertukar daripada hiperskala kepada AI apabila diperlukan," katanya.

Cyberview adalah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan telah diberi mandat untuk menerajui pembangunan Cyberjaya sebagai hab teknologi global.

Mengenai KUL2 milik Vantage, kampus kedua di Cyberjaya terletak di kawasan seluas 14.16 hektar bersebelahan dengan kampus pertama mereka (KUL1).

KUL2 akan menyediakan kapasiti teknologi maklumat sebanyak 256 megawatt apabila siap sepenuhnya untuk menyokong penggunaan awan dan pertumbuhan AI.

Berikutan pengumuman tahun lepas untuk pelaburan tambahan US$3 bilion (RM13.32 bilion) yang dirancang untuk Malaysia, Vantage menandatangani perjanjian dengan Cyberview, pemaju hab teknologi Cyberjaya bagi mendapatkan tanah untuk membina kampus pusat data hiperskala terbesar di wilayah Asia Pasifik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan