EKONOMI > BERITA

Petros Harus Pastikan Peruntukan Gas Dijalankan Secara Strategik Dan Adil - Julaihi

07/08/2024 07:12 PM

KUCHING, 7 Ogos (Bernama) -- Petroleum Sarawak Bhd (Petros), sebagai pengagregat gas tunggal di Sarawak harus memastikan peruntukan gas untuk eksport dan nilai tambah bagi peringkat tempatan ditentukan secara strategik dan adil.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi berkata Petros juga memainkan peranan penting dalam menarik pelabur, memupuk penyertaan tempatan yang lebih besar dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di negeri itu.

“Kerjasama Petros dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memastikan peralihan tanggungjawab yang lancar dalam memperoleh gas asli daripada pengeluar huluan dan membekalkannya kepada industri di Sarawak termasuk loji gas asli cecair di Bintulu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis penyerahan Lesen Pengagihan Gas - Memperkasakan Industri Gas di sini hari ini.

Julaihi berkata pertumbuhan berterusan ekonomi Sarawak memerlukan ketersediaan gas asli sebagai bahan api untuk penjanaan kuasa, industri komersial dan bahan mentah industri.

“Untuk melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS 2030) dan memastikan keselamatan bekalan gas bagi tempoh jangka panjang, dijangka 30 peratus daripada gas itu perlu diperuntukkan untuk keperluan domestik menjelang 2030,” katanya.

Pad acara itu, bahagian pengedaran gas di bawah Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak mengeluarkan lesen runcit untuk gas kepada tiga belas penjual gas huluan yang memohon untuk menjalankan aktiviti bekalan dan penjualan gas asli di Sarawak.

Menurut Julaihi, sebaik menerima lesen runcit gas mereka, semua penggiat gas huluan diingatkan untuk mematuhi terma dan syarat ditetapkan lesen berkenaan dan memeterai perjanjian pembelian gas (GPA) dengan Petros selewat-lewatnya 1 Oktober 2024.

“Kegagalan memenuhi garis masa akan disifatkan sebagai tidak mematuhi Ordinan Pengagihan Gas, 2016 (DGO 2016) dan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 20.

“GPA ini akan membolehkan pemain gas huluan menjual dan membekalkan gas secara sah di Sarawak, memastikan pengguna mempunyai akses kepada bekalan gas yang boleh dipercayai,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan