EKONOMI > BERITA

Jualan Perdagangan Borong & Runcit Melonjak 5.4 Peratus Kepada RM146 Bilion Pada Jun 2024 - Perangkaan

08/08/2024 03:45 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Perdagangan borong dan runcit Malaysia berkembang 5.4 peratus tahun ke tahun pada Jun 2024, mencatatkan jualan RM146.0 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu dipacu oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 7.9 peratus kepada RM64.1 bilion.

Perdagangan borong juga bertumbuh 4.0 peratus untuk mencatatkan RM64.9 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan peningkatan 2.0 peratus untuk mencapai RM17.0 bilion, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong dan runcit turun 1.3 peratus berbanding bulan sebelumnya, disebabkan oleh kenderaan bermotor yang menurun 9.4 peratus," katanya.

Berkenaan prestasi suku kedua 2024, Mohd Uzir berkata perdagangan borong dan runcit naik  6.4 peratus didorong oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 7.4 peratus kepada RM191.8 bilion.

"Ini diikuti perdagangan borong yang tumbuh 4.5 peratus untuk mencatatkan RM193.8 bilion. Subsektor kenderaan bermotor juga merekodkan pertumbuhan positif dengan 9.9 peratus untuk mencapai RM53.1 bilion," katanya.

Beliau berkata indeks jualan runcit melalui internet tumbuh 4.8 peratus tahun ke tahun pada Jun 2024 berbanding 5.2 peratus pada Mei 2024. 

Dalam satu kenyataan berasingan, Mohd Uzir berkata indeks volum perdagangan borong dan runcit bagi suku kedua 2024 mencatatkan pertumbuhan 4.9 peratus tahun ke tahun untuk mencapai 155.4 mata.

Peningkatan itu disumbangkan oleh subsektor kenderaan bermotor yang tumbuh 9.0 peratus kepada 132.0 mata, diikuti oleh perdagangan runcit dan perdagangan borong yang meningkat masing-masing 5.5 peratus dan 3.1 peratus.

“Bagi indeks volum pelarasan musim perdagangan borong dan runcit meningkat 5.3 peratus berbanding suku pertama 2024, disokong oleh semua kumpulan iaitu kenderaan bermotor (26.7 peratus), perdagangan runcit (5.0 peratus) dan perdagangan borong (3.1 peratus)," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan