EKONOMI > BERITA

China Bantu Redakan Kesan Kemelesetan As Terhadap Ekonomi Malaysia

08/08/2024 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos -- Hubungan ekonomi yang kukuh antara Malaysia dan China dijangka membantu negara menghadapi dan mengatasi kesan buruk daripada kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat (AS), kata Capital Dynamics Asset Management Sdn Bhd.

Pengarah Urusannya Tan Teng Boo berkata China bersedia memperkenalkan dasar-dasar agresif untuk mengukuhkan ekonominya berikutan perkembangan terkini di negara itu dan di AS, yang akan membantu mengurangkan kesan daripada kemungkinan kemelesetan ekonomi global.

Sehubungan itu, beliau percaya ekonomi Malaysia akan tetap berkembang lebih baik berbanding negara-negara lain kerana hubungannya yang kukuh dengan China.

Tan juga berkata FBM KLCI Bursa Malaysia akan mampu berada pada paras 1,600 dan ringgit antara 4.40 hingga 4.50 pada akhir tahun memandangkan risiko kemelesetan ekonomi AS dijangka mendorong perubahan dalam dasar monetari ekonomi terbesar dunia itu.

"China sentiasa menjadi negara yang penting kepada dunia dan Malaysia, bukan sahaja untuk perniagaan dan pelaburan tetapi juga untuk ekonomi dan dasar-dasar luar negaranya," katanya kepada pemberita dalam sidang media hari ini.

Beliau menggambarkan kemelesetan ekonomi AS sebagai satu potensi yang luar biasa dan sangat berbeza daripada krisis-krisis sebelum ini, dengan kerajaan AS mempunyai ruang dasar yang terhad dan mungkin mengurangkan kadar faedahnya dengan ketara bermula tahun ini.

"Saya tidak akan terkejut jika AS sekali lagi mengurangkan kadar faedah kepada hampir sifar," kata beliau.

Tan berkata dengan defisit belanjawan 2024 AS yang dianggarkan pada 7.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), negara itu mempunyai pendekatan yang terhad untuk melancarkan rangsangan fiskal bagi meningkatkan ekonominya.

Beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin mengekalkan kadar dasar semalaman semasa pada 3.00 peratus untuk memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif bagi pertumbuhan ekonomi mampan, di tengah-tengah perbezaan kadar yang terhad sekiranya AS mula mengurangkan kadar faedah pada tahun ini.

Tan berkata China berada dalam kedudukan yang sangat baik untuk menggunakan langkah-langkah fiskal bagi menyokong ekonomi, dan ia mempunyai banyak ruang untuk melonggarkan dasar monetarinya.

Beliau menambah dengan krisis perdagangan yang sedang berlaku dengan AS, ekonomi China yang tahan lasak akan mampu melalui satu lagi krisis kewangan yang diketuai oleh AS dengan selamat, seperti pada 2008 - 2009.

Tan berkata China telah menyelamatkan ekonomi global pada 2009 dengan rangsangan fiskal yang besar dan sekali lagi pada 2022 hingga 2023 daripada krisis kos sara hidup, dengan tidak melaksanakan rangsangan fiskal secara besar-besaran.

"Kali ini, kita mungkin dapat melihat China menyelamatkan ekonomi global untuk kali ketiga," katanya.

China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009, meliputi 14 peratus daripada eksport.

Kedatangan pelancong dari China mencecah hampir 1.2 juta orang dalam tempoh lima bulan pertama 2024, peningkatan sebanyak 200 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan