EKONOMI > BERITA

Malaysia Perlu Bangunkan Agenda Integrasi Ekonomi ASEAN - Liew

08/08/2024 05:12 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Malaysia, yang akan menjadi pengerusi ASEAN tahun depan perlu bersedia untuk membangunkan agenda integrasi ekonomi ASEAN, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata agenda pasca 2025 selari dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 yang memfokuskan kepada persaudaraan yang berdaya tahan, inovatif dan dinamik, seperti yang disuarakan oleh para pemimpin pada September 2023.

Agenda itu akan menyokong rancangan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), yang dibangunkan secara strategik dalam kitaran lima tahun antara 2025 dan 2045, kata Liew dalam ucapannya di Forum Integrasi Ekonomi ASEAN keenam.

"Ini adalah tugas besar untuk diselesaikan. Ia juga merupakan peluang penting bagi ASEAN untuk menetapkan semula keutamaan integrasi ekonominya, dengan unjuran 20 tahun," katanya.

Beliau berkata pembentukan agenda ini harus dilakukan berdasarkan analisis mendalam mengenai kedudukan semasa dan aspirasi masa depan Malaysia, berbanding trend mega global yang merangkumi pelbagai sektor, dengan mengambil kira keutamaan ekonomi Malaysia 2025 yang mesti dilaksanakannya.

Liew memfokuskan keutamaan dalam empat bidang, iaitu meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN; membina masa depan yang inklusif dan mampan; menyepadukan dan menghubungkan ekonomi; serta peralihan kepada masa depan digital. 

Beliau berkata kementeriannya sedang bekerjasama dengan Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Laos untuk memperkenalkan Biasiswa Kerjasama Ekonomi Malaysia-Laos bagi tahun akademik 2025, dengan kerjasama Monash University Malaysia, Taylor's University, Sunway University, UCSI University, INTI International University dan HELP University.

Setiap universiti itu menawarkan dua biasiswa yang dibiayai sepenuhnya kepada pelajar Laos yang layak untuk meneruskan pengajian mereka di Malaysia, katanya.

Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia, menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri juga berazam untuk menyokong dan memperkasakan negara anggota yang kurang membangun demi mencapai pertumbuhan secara bersama, kata Liew.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan