EKONOMI > BERITA

FGV Hasilkan Minyak Isirung Sawit Mentah Pertama Patuh EUDR

08/08/2024 08:46 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- FGV Holdings Bhd mengukuhkan komitmennya terhadap amalan mampan dengan mengeluarkan minyak isirung sawit mentah (CPKO) pertama yang mematuhi Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Pencapaian ini merupakan sebuah lagi detik bersejarah buat FGV yang menjadi antara syarikat Malaysia terawal dalam menghasilkan CPKO patuh EUDR, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

CPKO digunakan secara meluas dalam produk-produk makanan dan penjagaan diri, termasuk ais krim bukan tenusu, marjerin, coklat, konfeksi, sabun mandi dan sabun cuci yang dihasilkan mengikut standard yang ditetapkan EUDR.

EUDR adalah rangka kerja perundangan yang bertujuan memastikan produk yang diimport ke negara-negara Kesatuan Eropah (EU) bebas daripada aktiviti-aktiviti penebangan dan kemusnahan hutan.

Keupayaan FGV untuk menghasilkan CPKO yang patuh EUDR untuk pelanggan-pelanggan antarabangsa jelas menunjukkan dedikasinya dalam menyokong piawaian kelestarian dan pematuhan perundangan global.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Nazrul Mansor berkata FGV memahami peranan penting yang perlu dimainkan oleh perniagaan dalam menangani cabaran alam sekitar dan sosial yang mendesak.

"Pengeluaran CPKO yang patuh EUDR menandakan lembaran baharu bagi operasi kami serta membuktikan dedikasi kami untuk memenuhi piawaian alam sekitar dan sosial global yang ketat.

"Pencapaian ini pastinya akan memberi kesan positif kepada keuntungan kami dari masa ke masa dan mencerminkan pendekatan proaktif kami terhadap penjagaan alam sekitar serta komitmen kami terhadap pengeluaran minyak sawit yang mampan," katanya.

FGV memberi tumpuan kepada memperoleh tandan buah segar (TBS) daripada tiga sumber utama, iaitu ladang FGV, peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), dan ladang pekebun-pekebun kecil bebas yang mematuhi piawaian EUDR serta syarat kebolehkesanan Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) atau Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO).

"Kami berhasrat untuk mengembangkan rangkaian rakan perniagaan kami dalam kalangan pekebun kecil, yang seterusnya akan menjana peluang ekonomi yang lebih baik untuk mereka, dan seterusnya meningkatkan usaha-usaha kelestarian kolektif industri minyak sawit Malaysia," kata Nazrul.

Pada Julai lalu, FGV melancarkan Rangka Kerja Kelestarian yang baharu, bagi meneruskan komitmennya terhadap matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), yang merangkumi lima tonggak iaitu Pertumbuhan Ekonomi, Tadbir Urus, Sosial, Alam Sekitar, serta Inovasi dan Teknologi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan