EKONOMI > BERITA

SME Bank, Tabung Haji Meterai MoU Bagi Tingkatkan Pertumbuhan PMKS

12/08/2024 05:10 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- SME Bank Malaysia (SME Bank) dan Lembaga Tabung Haji (TH) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk meningkatkan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui penyelesaian kewangan yang disesuaikan dan program pembinaan kapasiti yang menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SME Bank Datuk Mohammad Hardee Ibrahim berkata kerjasama ini memberi impak yang besar kepada sektor PMKS dengan menghubungkan penyelesaian pembiayaan patuh syariah bank dan rangkaian TH.

“Dengan memperluas capaian, kami menyasarkan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi PMKS yang mampan dengan meningkatkan peluang dan kejayaan mereka selaras dengan prinsip syariah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di bawah MoU itu, TH akan mempromosikan program bank kepada vendor yang berpotensi manakala anak syarikat bank itu, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR) akan membangunkan dan menggalakkan program pembinaan kapasiti untuk vendor berdaftar TH yang layak.

Mohammad Hardee berkata CEDAR, yang telah melatih lebih 82,000 usahawan akan menyediakan program keusahawanan dan pembinaan kapasiti yang menyeluruh dirangka untuk mengukuhkan PMKS.

“Program ini juga akan mengintegrasikan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus melalui khidmat nasihat dan bimbingan yang khusus,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua organisasi akan mengkaji dan mencadangkan skim pembiayaan berstruktur yang disesuaikan dengan keperluan khusus vendor yang berdaftar dengan TH.

Mereka juga akan bekerjasama dalam penganjuran persidangan, seminar, ceramah, aktiviti pemasaran serta menyertai program latihan dan pembangunan bersama.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO TH Syed Hamadah Syed Othman berkata MoU ini adalah mengenai menyediakan sokongan kewangan dan membina ekosistem yang menyeluruh untuk menggalakkan pertumbuhan PMKS.

“Kami komited untuk memanfaatkan rangkaian dan keupayaan kami yang luas bagi memastikan vendor yang berdaftar mendapat kemahiran dan peluang diperlukan untuk berkembang selain meneruskan sokongan jangka panjang mereka untuk TH dan operasi perniagaannya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan