EKONOMI > BERITA

Pelaburan Modal TNB Penting Bagi Ekonomi Hijau, Industri EV

13/08/2024 04:46 PM

Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Kemampuan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk membuat pelaburan modal yang besar penting bukan sahaja bagi memastikan jaminan bekalan tenaga berterusan di Malaysia malah juga menyokong peralihan kepada ekonomi hijau bernilai tinggi dan mempercepat pembangunan industri kenderaan elektrik (EV).

Dalam usaha itu, TNB akan dapat menyokong pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang diperkenalkan Kerajaan MADANI selain memudahkan komitmen tenaga boleh baharu (TBB) Malaysia.

Malah, TNB juga perlu memasang infrastruktur baharu dan melabur dalam sistem baharu, melaksanakan penambahbaikan dan penggantian di samping menaik taraf dan memodenkan aset yang semakin uzur untuk memenuhi permintaan dan harapan pengguna elektrik sedia ada serta pengguna baharu.

Justeru, syarikat tenaga itu mengunjurkan peruntukan pelaburan yang lebih tinggi untuk melaksanakan mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) bagi Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) di antara 2025 dengan 2027 berbanding RM21 bilion bagi IBR RP3 untuk tempoh 2022 hingga 2024.

Kemampuan untuk membuat pelaburan modal yang besar bergantung kepada peraturan IBR  bagi RP4, yang kini sedang dibincangkan dengan Suruhanjaya Tenaga (ST), pihak kawal selia yang memastikan industri tenaga dibangunkan dengan cekap.

TNB, sebagai pemilik dan pengendali grid nasional di Semenanjung Malaysia, dilihat sebagai pemboleh  NETR yang utama memandangkan keperluan perbelanjaan modal adalah penting ke arah pengukuhan Grid.

Berdasarkan rekod prestasinya, tidak disangsikan bahawa TNB akan mengutamakan pelaburan infrastruktur yang cekap untuk mewujudkan grid teguh yang menyokong integrasi tenaga bersih.

 

JAMIN PULANGAN SAKSAMA DALAM TEMPOH KAWAL SELIA KEEMPAT

Di sebaliknya, tindakan untuk memastikan pulangan yang saksama adalah penting dalam RP4, lebih-lebih lagi dengan RP4 dirancang untuk menyokong aspirasi NETR kerajaan.

Berlandaskan pulangan saksama, TNB boleh membantu dengan membuat pelaburan yang bukan sahaja menyokong agenda peralihan tenaga negara dan merangsang ekonomi malah juga secara asasnya membentuk semula dengan mentransformasikan pengalaman pelanggan dan memperkasakannya dengan penyelesaian yang inovatif.

Jika diamati, menerusi pulangan saksama sewajarnya bagi menarik pelaburan secara mapan, TNB berada dalam kedudukan baik untuk mengekalkan kos bagi penghasilan tenaga elektrik selain menyampaikan perkhidmatan bertaraf dunia yang diyakini untuk rakyat.

Atau secara ringkasnya, syarikat itu akan meneruskan apa disifatkan sebagai khidmat negaranya dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia selain memastikan pulangan wajar kepada pemegang saham.

Pada masa sama, pengguna juga perlu menyedari dalam tempoh hampir 75 tahun, TNB telah menerangi Malaysia sepanjang tempoh 24 jam sehari, sekali gus mengekalkan sistem yang selamat dan berdaya tahan.

Bersandarkan peranan sebagai penyedia perkhidmatan penting dalam bidang berkaitan tenaga elektrik, tidak dinafikan TNB memenuhi tanggungjawab utamanya dalam memastikan tenaga cahaya dinikmati lebih 33 juta orang -- antara ‘jasa’ daripada pelaburannya yang memadai.

Malah, sebagai penggiat utama dalam memacu peralihan negara ke arah kemampanan, TNB juga bergiat aktif ke arah pemodenan prasarana tenaga di negara ini bagi menyokong perjalanan Malaysia mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih.

 

GRID TENAGA PERLU FLEKSIBEL BAGI TANGANI PERMINTAAN

Pertambahan bilangan pengguna TBB atau mereka yang membeli komponen elektronik -- komponen penting bagi mencapai matlamat 31 peratus TBB menjelang 2025, juga bermakna grid sedia ada perlu bersedia menangani lonjakan aliran dwiarah tenaga.

Jumlah sumber saluran tenaga yang terus meningkat seperti panel solar dan sistem penyimpanan tenaga, turut menambah cabaran signifikan ke atas prasarana sedia ada.

Sebagai contoh, sasaran memastikan 1.5 juta kenderaan elektrik di jalan raya menjelang 2040 merupakan kenaikan ketara daripada 10,000 kenderaan itu yang didaftarkan di negara pada masa ini.

Sejajar dengan kedudukan sektor pengangkutan global sebagai penyumbang besar pelepasan gas rumah hijau, ini menjadi satu anjakan yang perlu dilakukan seawal mungkin dan memerlukan grid yang berupaya menangani turun naik permintaan.

Meskipun grid tenaga negara boleh dipercayai dan stabil, namun, ia tidak direka untuk tahap fleksibel yang diperlukan bagi tahun-tahun akan datang.

Malaysia sedang menumpukan pembangunan TBB, kecekapan tenaga (EE) dan pengukuhan grid sejajar dengan potensi pertumbuhan dunia dalam industri tenaga bersih, dengan anggaran nilai pelaburan US$1.7 trilion pada 2023.

Usaha mentransformasikan grid tenaga Malaysia bagi memenuhi permintaan masa hadapan melibatkan lebih daripada sekadar kemajuan untuk pengeluaran dan pengedaran tenaga yang lebih tinggi

 

TNB GUNA PAKAI TEKNOLOGI GRID PINTAR

Olehkerana itu, TNB mengguna pakai teknologi grid pintar, merangkumi meter pintar, sistem pemantauan dan kawalan grid termaju serta langkah keselamatan siber yang teguh, selaras dengan piawaian antarabangsa seperti ISO 55001.

Namun, terdapat ruang luas untuk kemajuan, terutama dengan pembangunan sistem maklumat geografi digital komprehensif yang berterusan bagi pengurusan grid tenaga yang lebih cekap.

Menerusi Program Utiliti Pintar, TNB sedang giat merangka peranan bagi rangkaian pengedaran dalam usaha meningkatkan fleksibiliti grid Malaysia, meletakkannya untuk peranan dipacu masa depan.

Pertumbuhan keperluan tenaga di Asia Tenggara yang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini menekankan keperluan grid yang mampu mengendalikan perubahan penjanaan dan penggunaan selain mengekalkan keseimbangan antara keselamatan, kebolehpercayaan serta kemampanan, dan TNB mampu menggalas usaha ini.

 

KEBOLEHPERCAYAAN PERKHIDMATAN BERKELAS DUNIA KEPADA RAKYAT

Kurangnya pelaburan dalam sektor tenaga boleh menyebabkan gangguan dan terputusnya bekalan seperti yang berlaku di Amerika Syarikat pada dekad yang lepas.

Sebaliknya, pelaburan sistem tenaga oleh TNB sangat penting dalam menjamin bekalan tenaga yang mencukupi dan boleh dipercayai serta memberi manfaat besar kepada ekonomi hijau negara di samping menjana pulangan saksama untuk kalangan pemegang sahamnya.

Rakyat seharusnya sedar bahawa kejayaan pelaksanaan RP4 dengan pulangan saksama dan pelaburan dalam sistem tenaga adalah penting bagi TNB untuk terus memastikan bekalan tenaga yang terjamin dan boleh dipercayai untuk seluruh warga Malaysia.

Pada akhirnya, TNB akan terus melakukan kepakarannya demi memberikan kebolehpercayaan perkhidmatan berkelas dunia kepada rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan