EKONOMI > BERITA

Pasaran EV Malaysia Berpotensi Capai Dua Peratus Menjelang Akhir Tahun - EON

15/08/2024 01:10 PM

BENTONG, 15 Ogos (Bernama) -- Anak syarikat DRB-HICOM Bhd, Edaran Otomobil Nasional Bhd (EON) mengunjurkan penembusan pasaran kenderaan elektrik (EV) Malaysia mencecah sehingga dua peratus menjelang akhir tahun, didorong oleh pelancaran model EV tambahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Edaran Otomobil Nasional Bhd, Akkbar Danial berkata penembusan pasaran EV tempatan sudah mencapai kira-kira 1.5 peratus setakat Jun 2024.

“Tahun ini, saya menjangkakan ia meningkat antara 1.7 peratus dan dua peratus, didorong oleh kemunculan jenama baharu dan pengenalan model nasional (model kenderaan elektrik pertama Malaysia) seperti Proton e.MAS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis EON dan Sahabat Media Getaway di sini, semalam.

Akkbar berkata pertumbuhan dalam pasaran EV Malaysia boleh dikaitkan dengan peningkatan kesedaran pelanggan dan kesediaan untuk beralih kepada kenderaan elektrik.

"Faktor lain yang mempengaruhi pelanggan termasuk ketersediaan stesen pengecasan untuk perjalanan jarak jauh. Jika jarak pemanduan berada dalam radius yang selesa, mereka tidak perlu berpindah ke Lembah Klang untuk mendapat manfaat daripada ekosistem EV,” katanya.

Beliau juga menekankan fokus syarikat untuk meningkatkan perkhidmatan selepas jualan untuk menambah baik kepuasan pelanggan, ia termasuk pelancaran platform pembiayaan digital bersepadu EON Capital Sdn Bhd yang membolehkan pelanggan menempah dan membeli kereta dalam talian dengan mudah.

EON, pengedar rasmi jenama kereta nasional Proton turut mengedarkan jenama global seperti Audi, Mitsubishi dan Volkswagen menerusi anak syarikatnya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini berkata kerajaan akan memastikan keseluruhan ekosistem industri EV dirancang dengan rapi bagi kemudahan pengguna serta untuk menggalakkan lebih banyak penggunaannya pada masa hadapan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan