EKONOMI > BERITA

Pelbagai Inisiatif, Dasar Dilaksana Di Bawah Ekonomi MADANI Mula Membuahkan Hasil

15/08/2024 05:39 PM

Oleh Nor Baizura Basri

JOHOR BAHRU, 15 Ogos (Bernama) -- Pelbagai insiatif dan dasar yang dilaksanakan kerajaan di bawah Kerangka Ekonomi MADANI telah mula membuahkan hasil.

Pengarah Eksekutif Unit Pantau MADANI, Kementerian Kewangan (MOF) Mohd Khalid Mohamed Latiff berkata kejayaan pelaksanaannya telah membuka banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta meningkatkan pendapatan rakyat, sekaligus memacu ke arah ekonomi negara yang mapan. 

Justeru, katanya, menerusi Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 yang bermula hari ini, beliau berharap agar dapat memberi kefahaman kepada rakyat mengenai segala usaha kerajaan terutamanya di bawah Ekonomi MADANI.

"Kita hendak memaparkan pencapaian setahun Ekonomi MADANI. Untuk setahun ini, apa yang kerajaan telah lakukan. Antaranya Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta banyak lagi inisiatif serta dasar kerajaan yang telah dilaksanakan.

"Dan semua ini turut memberi penekanan kepada teknologi tinggi dan inovasi serta meningkatkan daya saing industri kita di peringkat global," katanya kepada Bernama ketika ditemui di reruai Kementerian Kewangan sempena program tiga hari tersebut di Dataran UTM, Skudai, di sini.

Selain itu, Mohd Khalid berkata peranan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), dilihat turut memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi. 

Bagaimanapun, katanya, penekanan harus diberikan kepada pelaburan dalam sektor tumpuan dalam Kerangka Ekonomi MADANI.

Minggu lepas, Kementerian Kewangan telah mengumumkan program GEAR-uP, dengan fasa pertama melibatkan enam GLIC yang memberi komitmen secara kolektif untuk melabur dana berjumlah RM120 bilion bagi tujuan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam tempoh lima tahun akan datang, di samping pelaburan dalam pasaran modal awam bernilai RM440 bilion.

Pelaburan itu akan disasarkan kepada industri yang memiliki pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi seperti sektor peralihan tenaga dan pembuatan canggih terutamanya dalam bidang semikonduktor. 

Selain itu, ia turut melibatkan pelaburan dalam syarikat pemula, modal teroka serta syarikat peringkat pertengahan yang akan dapat menyokong penyenaraian syarikat tersebut. 

Sementara itu, Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 yang bermula hari ini, menawarkan pelbagai perkhidmatan terus kepada rakyat melalui penyertaan 34 kementerian serta agensi kerajaan dan negeri, dengan 175 perkhidmatan langsung tersedia sepanjang program.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan