EKONOMI > BERITA

MNRB Catat Untung Bersih Suku Pertama 2025 Lebih Tinggi Kepada RM92.2 Juta

16/08/2024 10:15 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- MNRB Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM92.20 juta pada suku pertama tahun kewangan 2025 yang berakhir 30 Jun, 2024 (S1 TK2025) daripada RM69.54 juta pada suku yang sama tahun kewangan 2024.

Ia mengaitkan keuntungan yang lebih tinggi disebabkan hasil perkhidmatan insurans yang lebih baik dipacu oleh tuntutan yang lebih baik berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, hasil lebih rendah sedikit kepada RM941.05 juta berbanding RM945.34 juta di tengah-tengah kejatuhan hasil insurans daripada perniagaan takaful keluarga, yang diimbangi oleh pertumbuhan dalam perniagaan takaful am dan insurans semula.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ia berkata jumlah hasil perniagaan insurans semula meningkat 2.4 peratus terutamanya disebabkan oleh pertumbuhan hasil insurans sebanyak RM3.5 juta yang disumbangkan oleh pertumbuhan dalam perniagaan antarabangsa daripada portfolio khusus dan penyerahan sukarela tempatan serta pendapatan pelaburan sebanyak RM8.9 juta.

Sementara itu, perniagaan takaful am mencatatkan jumlah hasil RM198.6 juta, meningkat 12.6 peratus disebabkan pertumbuhan hasil takaful sebanyak RM21.7 juta terutamanya yang diperoleh daripada perniagaan motor dan kebakaran.

Mengenai prospek, MNRB berkata industri insurans/takaful Malaysia dijangka berkait rapat dengan pemulihan ekonomi, peningkatan dalam penembusan dan permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan digital.

Sementara itu, Pengerusi MNRB Datuk Johar Che Mat berkata pihaknya komited untuk memacu pengembangan hasil dan meningkatkan keuntungan sambil menguruskan modalnya secara optimum.

"Inisiatif-inisiatif strategik telah disusun untuk memacu keuntungan di kedua-dua segmen borong dan runcit kami melalui perniagaan insurans semula/takaful semula dan am, serta menentu ukur semula model perniagaan takaful keluarga kami," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan