EKONOMI > BERITA

AICB Anjur IFCTF Lengkapkan Pegawai Bank Malaysia Dengan Kemahiran Khusus Dalam Menangani Ancaman Jenayah Kewangan Yang Baru Muncul

19/08/2024 11:10 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Kumpulan Rangkaian Pegawai Pematuhan (CONG) menganjurkan Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) Masterclass 2024 di sini selama dua hari sehingga esok.

IFCTF Masterclass 2024 mengangkat tema ‘Menentang Jenayah Kewangan dan Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Pembiayaan Keganasan (CFT), Pembiayaan Percambahan (CPF): Tinjauan Teknikal Mendalam’.

Persidangan itu menawarkan pembelajaran pengalaman yang luas dalam jenayah kewangan, memupuk kerjasama dan pemikiran inovatif dalam kalangan pegawai bank Malaysia melalui sesi kelas pakar yang diketuai oleh pakar global dan serantau yang terkemuka.

Semasa menyampaikan ucapan alu-alu di IFCTF Masterclass 2024 pada Isnin, Pengerusi AICB Tan Sri Azman Hashim berkata penting untuk membina keupayaan tenaga kerja perbankan dalam menjangkakan, menghalang dan menangani jenayah kewangan yang semakin sofistikated dengan berkesan.

Beliau berkata ini terutamanya memandangkan peranan penting mereka yang amat diperlukan dalam melindungi sistem kewangan negara.

“Dalam memperkasakan ahli kami untuk menghadapi cabaran besar ini, AICB terus menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, mempelajari kemahiran tambahan dan kemahiran baharu.

“Pada tahun ini, kami telah memperkenalkan beberapa kursus baharu yang direka khusus untuk memperkukuh keupayaan ahli kami dalam bidang utama perbankan di era digital ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi CONG Faradina Ghouse berkata memerangi jenayah kewangan memerlukan kerjasama yang kukuh dan bersatu, dengan industri kewangan, pihak kawal selia, agensi penguatkuasaan dan organisasi global yang berkaitan mesti terus bekerjasama.

“Melalui tindakan kolektif dan kepakaran bersama, kita boleh memerangi ancaman ini dan melindungi integriti sistem kewangan kami dengan berkesan,” katanya.

Malaysia dilaporkan mencatatkan kerugian sebanyak RM3.2 bilion berikutan penipuan dalam talian bagi tempoh 2021 hingga April 2024, yang menjejaskan lebih 95,800 mangsa, berbanding RM804 juta yang dicatatkan pada 2022.

Sebanyak 14,490 kes penipuan dalam talian direkodkan bagi separuh pertama 2024 yang melibatkan kerugian melebihi RM581 juta

Penipuan dan skim penipuan bank membentuk US$485.6 bilion dari segi unjuran kerugian di seluruh dunia pada 2023, menunjukkan kelaziman jenayah itu di seluruh dunia. (US$1 = RM4.39)

Menurut AICB cabaran dalam memerangi jenayah kewangan ini juga menawarkan peluang untuk langkah pengesanan dan pencegahan yang lebih baik dan kukuh, yang memanfaatkan kelebihan data, analitik, pembelajaran mesin, dan kecerdasan buatan untuk terus meningkatkan penyeliaan, pengawalan, dan kawalan pematuhan.

“Terdapat peluang untuk mengukuhkan kerjasama rentas sempadan dan perkongsian pengetahuan dengan agensi utama AML/CFT dan badan pengawalseliaan pada peringkat global, meningkatkan inisiatif pembangunan kapasiti AML/CFT di samping meningkatkan kesedaran sektor awam dan swasta dalam mendukung budaya integriti, ketelusan dan akauntabiliti,” tambah AICB.

IFCTF Masterclass 2024 menampilkan penerokaan intensif mengenai landskap jenayah kewangan melalui sesi praktikal yang mendalam, yang merangkumi bidang kritikal termasuk cadangan Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF), pembiayaan proliferasi, pembiayaan keganasan serta penilaian risiko nasional dan sektoral, antaranya.

“Pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh melalui IFCTF Masterclass 2024 menyediakan asas yang kukuh untuk profesional kewangan untuk membina kepercayaan pelanggan, menyumbang kepada amalan terbaik industri, dan akhirnya melindungi integriti sistem kewangan Malaysia,” tambahnya.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Marzunisham Omar berkata bank pusat telah menubuhkan platform seperti Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan Platform Perisikan Ancaman Siber Sektor Kewangan (FinTIP).

“Kedua-dua platform ini bukan sahaja terdiri daripada peserta kewangan atau agensi penguatkuasaan undang-undang malah juga pihak berkepentingan utama seperti syarikat telekomunikasi.

“Matlamatnya adalah untuk memupuk hubungan dan libat urus yang membolehkan kita bergerak seiring perubahan dan bertindak pantas dalam persekitaran jenayah yang perlu dibanteras dengan cepat,” katanya semasa berucap merasmikan persidangan itu hari ini.

AICB menjelaskan sebagai antara platform kepimpinan berwawasan paling berpengaruh di rantau ini yang memfokuskan usaha memerangi jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan selama lebih 13 tahun, IFCTF terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan piawaian industri dan memupuk kerjasama antara profesional perbankan di seluruh dunia.

IFCTF Masterclass 2024 menarik lebih 700 wakil dari institusi kewangan tempatan dan antarabangsa, yang terdiri daripada pegawai pematuhan kanan, profesional pengurusan risiko, pengawal selia, serta pegawai kerajaan dan penguatkuasaan undang-undang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan