EKONOMI > BERITA

UDA Rangka Pembangunan Baharu Sempena Sambutan Jubli Emas Perniagaan Di Johor

21/08/2024 01:31 PM

ISKANDAR PUTERI, 21 Ogos (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA) merangka pelbagai rancangan pembangunan baharu sempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun perniagaannya di Johor pada tahun depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Mohd Salem Kailany berkata antara cadangan berkenaan adalah pembinaan sebuah blok pangsapuri perkhidmatan 34 tingkat di Pusat Bandar Tampoi dan dua blok 35 tingkat di Skudai Kanan, di sini.

Beliau berkata UDA turut merangka kesinambungan pembangunan sebuah bandar lestari di Bandar UDA Utama meliputi rumah bandar dan teres dua tingkat, kedai pejabat dua dan tiga tingkat serta pangsapuri termasuk pangsapuri kos sederhana dengan menggabungkan elemen moden, elegan dan lestari. 

“Bandar yang dibina dengan bahan mesra alam dan sistem cekap tenaga ini juga akan mengintegrasikan kemudahan bandar dengan ketenangan, reka bentuk inovatif dan seni bina canggih untuk gaya hidup ceria dan sejahtera,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra UDA Bersama Media Johor di sini malam tadi.

Mohd Salem berkata penglibatan UDA di Johor yang bakal mencecah 50 tahun pada 17 Julai 2025 adalah bersempena usia penubuhan cawangan perniagaan anak syarikat Land (South) Sdn Bhd (ULSSB) dan UDA  Angsana Sdn Bhd.

UDA  Angsana menguruskan Angsana Johor Bahru Mall (AJBM).

Beliau berkata “Road to Golden Years-50 Years and Beyond” diangkat sebagai tema perjalanan UDA di negeri itu.

“Kejayaan ini merupakan tanda sokongan dan kepercayaan para pemegang taruh, pelanggan, rakan-rakan strategik serta sokongan rakan-rakan media terutama di negeri ini yang banyak membantu mengetengahkan produk-produk serta perkhidmatan UDA kepada masyarakat umum,” katanya.

Sementara itu, Mohd Salem berkata pelbagai aktiviti dan promosi menarik turut dirancang bagi menghargai sokongan berterusan pelanggan AJBM yang beroperasi sejak 1997 dan menarik lebih 15 juta pengunjung setiap tahun.

AJBM membawakan dua jenama baharu yang dibangunkan UDA iaitu Kirana dan Mari Mart.

Beliau berkata Kirana menawarkan pelbagai produk kraftangan daripada 13 negeri dan Mari Mart dengan tagline “Dari Kita Untuk Semua” pula merupakan pusat runcit sehenti yang menyatukan pelbagai produk makanan dan minuman selari dengan hasrat UDA dalam  menyokong usaha memperkukuhkan pasaran produk usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).

Pusat beli-belah lima tingkat yang menawarkan ruang niaga seluas 400 ribu kaki persegi itu turut menawarkan dewan acara “Laman Astana” yang dilengkapi kemudahan terkini dan boleh memuatkan sehingga 1,000 tetamu, katanya. 

“Ia sesuai digunakan bagi majlis perkahwinan, konsert, makan malam, majlis graduasi dan pameran, selain turut menyediakan empat gelanggang badminton untuk rekreasi dan kawasan terbuka yang luas serta dapat memuatkan sehingga 10 khemah,” katanya.

Mohd Salem dalam pada itu berkata Karnival UDA 2024 yang memasuki tahun ketiga penganjurannya akan menjelajah ke Bandar Tun Hussein Onn di Cheras pada September, diikuti Johor Bahru (Oktober) dan penutupnya di Kuching, Sarawak akhir Oktober.

Beliau pada masa sama mengalu-alukan kunjungan orang ramai ke galeri jualan UDA Land (South) Sdn Bhd bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan produk hartanah UDA di negeri itu serta UDA Angsana Sdn Bhd untuk maklumat berkaitan lot niaga serta tawaran insentif ke arah pemerkasaan aktiviti keusahawanan UDA.

-- BERNAMA

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan