EKONOMI > BERITA

Amazon Lancar AWS Asia Pasifik (Malaysia), Labur Kira-kira RM29.2 Bilion

22/08/2024 12:52 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Amazon Web Services (AWS) yang juga unit Amazon.com Inc, hari ini melancarkan wilayah infrastruktur AWS Wilayah Asia Pasifik (Malaysia) dan merancang pelaburan kira-kira US$6.2 bilion (kira-kira RM29.2 bilion) di Malaysia sehingga 2038.

Dalam kenyataan dikeluarkan di Seattle, Amerika Syarikat, syarikat itu berkata bermula hari ini kalangan pemaju, syarikat pemula niaga, usahawan, perusahaan, kerajaan, pendidikan dan pertubuhan bukan berkeuntungan, mempunyai pilihan lebih luas dalam mengendalikan aplikasi selain berkhidmat kepada pengguna dari pusat data AWS di Malaysia.

“Pembinaan dan operasi Wilayah AWS baharu itu dianggarkan dapat menambah kira-kira US$12.1 bilion (RM57.3 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia selain menyokong purata lebih 3,500 pekerjaan setara sepenuh masa di perniagaan luar setiap tahun sehingga 2038. 

“Kesemua pekerjaan ini, termasuk pembinan, kemudahan penyelenggaraan, kejuruteraan, telekomunikasi dan lainnya dalam ruang ekonomi negara itu yang meluas, akan menjadi sebahagian daipada rantaian bekalan AWS di Malaysia,” katanya.

Pelancaran AWS Wilayah Asia Pasifik (Malaysia) itu turut menjadikan AWS mempunyai sebanyak 108 zon ketersediaan yang merentasi 34 kawasan geografi.

Malah, syarikat itu turut mengumumkan rancangan bagi pelancaran 18 lagi zon ketersediaan dan enam lagi AWS Wilayah masing-masing di Mexico, New Zealand, Arab Saudi, Taiwan, Thailand serta  AWS European Sovereign Cloud.

Memperincikan kemudahan AWS Asia Pasifik (Malaysia), syarikat itu berkata ini merangkumi tiga zon ketersediaan pada jarak memadai bagi menyokong kesinambungan perniagaan pelanggan namun hampir dari segi menyediakan kependaman rendah untuk aplikasi ketersediaan tinggi menggunakan zon ketersediaan yang berbilang atau pelbagai.

“Setiap zon ketersediaan mempunyai aspek tenaga, penyejukan dan keselamatan fizikal selain dihubungkan melalui rangkaian kependaman ultra rendah," katanya.

Menurutnya, pelanggan AWS yang menumpukan ketersediaan tinggi boleh mereka bentuk aplikasi bagi kendalian zon ketersediaan pelbagai untuk mencapai toleransi lebih meluas.

“Menerusi pelancaran hari ini, AWS berbangga dapat menyokong transformasi digital Malaysia dan membantu mempercepat peranannya sebagai hab serantau kecerdasan buatan (AI)," kata Naib Presiden Perkhidmatan Infrastruktur AWS Prasad Kalyanaraman.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pelancaran wilayah infrastruktur AWS di Malaysia itu dapat menyediakan akses kepada teknologi baharu dan maju untuk entiti dan perniagaan Malaysia merangkumi semua saiz selain meningkatkan keupayaan Malaysia bagi inovasi digital.

Beliau juga menyifatkan pelancaran itu sebagai langkah penting bagi merealisasikan matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 untuk membangunkan ekonomi berkemahiran tinggi, inovatif, makmur, inklusif serta mampan.

“Kita mengambil maklum mengenai kuasa transformasi pendigitalan, pengkomputeran awan dan AI sebagai pemacu utama dalam usaha Malaysia menjadi hab pembuatan dan perkhidmatan di Asia.

“Menerusi pelaburan terbesar dicatatkan oleh sebuah syarikat teknologi antarabangsa di Malaysia, wilayah infrastruktur AWS akan membantu dari segi memastikan Malaysia mengekalkan daya saing di persada global,” katanya.

AWS menawarkan portfolio perkhidmatan paling meluas dan mendalam, termasuk aspek analitik, pengkomputeran, pangkalan data, Internet Kebendaan, AI generatif, pembelajaran mesin, perkhidmatan mudah alih, storan dan teknologi awan lain.

Pelanggan daripada syarikat pemula niaga dan perusahaan kepada organisasi sektor awam dan organisasi bukan berkeuntungan, juga dapat menggunakan teknologi canggih daripada pembekal awan terkemuka dunia untuk memacu inovasi, memenuhi keutamaan residensi data, mencapai kependaman lebih rendah dan permintaan bagi perkhidmatan awan di Malaysia dan rentas Asia Pasifik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan