EKONOMI > BERITA

Pengeluaran Sawit Malaysia Dijangka Lepasi 19 Juta Tan Tahun Depan - Penganalisis

23/08/2024 12:41 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Pengeluaran sawit Malaysia dijangka melepasi 19 juta tan pada 2025 sekiranya fenomena La Nina yang kuat melanda, kata seorang penganalisis.

Penganalisis kanan Fastmarket Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata pengeluaran sawit kini berada dalam kitaran tinggi dan berkemungkinan memuncak antara Ogos dan Oktober tahun ini, mengekalkan harga di bawah tekanan.

"Harga niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal tidak berubah antara RM3,700 dan RM3,900 satu tan berikutan pengeluaran akan menjadi pemacu utama harga sepanjang tahun ini," kata Sathia pada Forum Minyak Sawit Malaysia Timur di Kuching, Khamis.

Dalam kertas kerjanya "Palm & Laurics Market Outlook", beliau berkata eksport mungkin lebih rendah pada Ogos dan September dan meningkat semula pada Oktober, yang ditentukan oleh daya saing harga, ringgit yang lebih kukuh dan dasar domestik China.

Mengulas mengenai pasaran MSM Malaysia dari Januari hingga Ogos tahun ini, beliau berkata komoditi itu menunjukkan peningkatan pengeluaran yang mengagumkan, walaupun ia tidak sekata. Eksport meningkat tetapi bukan ke China, katanya.

Beliau berkata tiada gangguan akibat cuaca tetapi beberapa ladang melaporkan pengeluaran yang lebih rendah susulan fenomena El Nino, di samping levi dan cukai yang tinggi di Indonesia memberi manfaat kepada Malaysia.

Minyak sawit juga memulihkan daya saingnya berbanding minyak soya, katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan