EKONOMI > BERITA

Pelaburan Amazon Web Services Buktikan Banyak Tawaran Menarik Oleh Malaysia - Ahli Ekonomi

23/08/2024 04:12 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Pelaburan terkini oleh Amazon Web Services (AWS) membuktikan Malaysia mempunyai banyak peluang untuk ditawarkan, melangkaui insentif cukai, kepada perniagaan asing, kata pakar ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata lokasi strategik, infrastruktur, kumpulan bakat dan dasar properniagaan adalah antara tarikan utama Malaysia.

Beliau berkata semua ini menjadikan kerajaan tidak perlu terlalu bergantung kepada insentif cukai untuk menarik pelabur dan perniagaan asing.

“Sehubungan itu, jenis pelaburan yang masuk perlu dipelbagaikan dengan baik. Cara terbaik, kerajaan perlu mengelak penumpuan sektor yang berlebihan kerana ini menyebabkan negara terdedah kepada perubahan mendadak dalam gelombang pelaburan,” katanya kepada Bernama.

Pada Khamis, AWS mengumumkan pelaburan bernilai US$6.2 bilion (RM29.2 bilion) di Malaysia sebagai sebahagian daripada komitmen jangka masa panjangnya sehingga 2038.

Pelaburan itu mengiringi pelancaran AWS Wilayah Asia Pasifik (Malaysia), menyediakan pilihan lebih luas kepada pembangun, syarikat pemula niaga, usahawan dan perusahaan di Malaysia untuk mengendalikan aplikasi dan memberi perkhidmatan kepada pengguna akhir dari pusat data AWS di negara ini.

Pembinaan dan operasi AWS Wilayah baharu itu dijangkakan menambah kira-kira US$12.1 bilion (RM57.3 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan akan menyokong purata tahunan lebih 3,500 pekerjaan sepenuh masa sehingga 2038.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebagai sebahagian daripada hubungan baharu itu, AWS telah menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Awan dengan kerajaan untuk meningkatkan penggunaan teknologi awan dalam sektor awam.

Mohd Afzanizam berkata pertambahan pusat data menunjukkan Malaysia boleh mencipta ruang teknologi khusus malah negara telah mewujudkan jejaknya dalam industri semikonduktor.

Beliau berkata terdapat cara untuk meningkatkan kemahiran dengan menggalakkan reka bentuk litar bersepadu.

Sehubungan itu, Malaysia berpotensi menjadi hab pusat data Asia memandangkan keluasan tanah dan infrastruktur yang dimiliki negara ini, katanya.

Mengenai kebimbangan berkenaan penggunaan air dan elektrik yang tinggi oleh pusat data memandangkan sumber itu boleh diperoleh pada harga yang murah di Malaysia, Mohd Afzanizam berkata perkara itu perlu diteliti daripada pendekatan holistik dengan peralihan ekonomi hijau negara.

“Ini membawa kepada langkah merasionalisasikan subsidi elektrik dan menggalakkan tenaga boleh baharu. Dalam pada itu, diharapkan perdagangan karbon dan cukai karbon adalah pilihan dasar yang boleh dimanfaatkan supaya penyelesaian sama menang dapat dicapai.

“Saya yakin pengendali pusat data menyedari perkembangan ini,” katanya di samping menambah, antara kerajaan dengan pengendali pusat data pastinya mempunyai titik persamaan.

Sementara itu, profesor ekonomi di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia Dr Geoffrey Williams berkata Malaysia mempunyai ruang untuk menempatkan lebih banyak pusat data dan isu sebenar adalah untuk memastikan kesan limpahan kepada ekonomi tempatan.

“Pusat data sebahagian besarnya beroperasi secara automatik dan tidak akan mewujudkan banyak pekerjaan jangka masa panjang. Keuntungan yang diperoleh akan dihantar balik oleh pemilik asing jadi, manfaatnya mungkin tidak kekal di sini,” katanya.

Beliau juga berkata aliran masuk pelaburan langsung asing sejak kebelakangan ini, terutama dalam sektor teknologi, memerlukan sumber khusus.

Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara akan meningkatkan penjanaan tenaga boleh baharu, katanya.

Williams berkata oleh kerana tenaga boleh baharu adalah lebih murah, ini akan membantu syarikat asing menggunakan tenaga elektrik rendah karbon yang tidak dapat perolehi di negara mereka.

“Jadi, mereka mungkin mampan dari segi alam sekitar jika menggunakan tenaga boleh baharu tetapi ini akan memberi tekanan kepada sumber tempatan yang boleh meningkatkan kos bagi masyarakat tempatan. Jadi, pusat data ini mungkin tidak mampan dari segi sosial,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan