EKONOMI > BERITA

Institusi Kewangan Mesti Tingkatkan Kemahiran Atasi Ancaman Yang Muncul - AICB

23/08/2024 04:19 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Profesional kewangan mesti meningkatkan kemahiran dan mengetahui perkembangan terkini dalam jenayah kewangan untuk mengatasi ancaman yang muncul memandangkan kecerdasan buatan (AI) telah membentuk semula landskap risiko, menurut  Asian Institute of Chartered Bankers (AICB).

Institut itu mengambil langkah proaktif dalam memastikan ahlinya mengharungi cabaran yang semakin meningkat dalam pematuhan kewangan dengan penekanan yang kuat terhadap Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Pencegahan Pembiayaan Keganasan (CTF) dan Pencegahan Pembiayaan Percambahan (CPF).

Ketua Eksekutifnya Edward Ling berkata sebagai penyedia utama pendidikan kepada ahli perbankan profesional dan pembangunan bakat, AICB berdedikasi untuk meningkatkan standard kecekapan dalam industri perbankan.

“Kami memainkan peranan penting dalam meningkatkan keupayaan tenaga kerja perbankan untuk mengesan dan mencegah penipuan, pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan melalui latihan yang dipertingkatkan dan pembangunan keupayaan.

"Adalah penting untuk melengkapkan profesional kewangan dengan pengetahuan praktikal dan kemahiran masa depan bagi mengekalkan integriti sektor ini dan menyokong pendekatan sifar toleransi terhadap jenayah kewangan," katanya kepada Bernama di luar Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan Masterclass 2024.

Salah satu inisiatif AICB ialah untuk melengkapkan ahlinya dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan melalui Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan untuk sektor kewangan Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini.

Institut itu juga turut menganjurkan pelbagai persidangan, sesi teknikal dan pensijilan termasuk program Chartered Banker utamanya yang merangkumi beberapa modul direka khusus bagi menangani AML dan CTF.

Ini termasuk Sijil Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan; Sijil Pematuhan Peraturan; Amalan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan; Amalan Pematuhan Peraturan; Amalan Risiko Bank; dan Pengurusan Risiko Bank.

AICB turut menawarkan Kelayakan Profesional dalam AML/CFT, iaitu Sijil dalam Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan serta Sijil Lanjutan dalam Pencegahan Pengubahan Wang Haram/Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Ia juga menawarkan Kelayakan Profesional dalam Pematuhan Kawal Selia (RC) untuk melengkapkan pakar perbankan dengan kemahiran dalam pematuhan peraturan dan risiko.

“Sebagai profesional RC yang bertauliah, ahli perbankan akan dapat memajukan kerjaya mereka dan memegang jawatan penting dalam pematuhan dan risiko kawal selia,” katanya.

Bagi memastikan latihan dan pensijilan AICB selaras dengan piawaian antarabangsa sambil kekal relevan dengan konteks tempatan di Malaysia, institut itu bekerjasama rapat dengan pemain-pemain industri, rakan kongsi, pihak berkuasa kawal selia serta badan pendidikan dan latihan global untuk memastikan penawaran pendidikannya memenuhi piawaian tertinggi dan keperluan industri.

 

Pembiayaan Percambahan adalah Ancaman Kepada Institusi Kewangan

 

Menurut seorang Profesor Pelawat di King's College London Dr Jonathan Brewer, pembiayaan percambahan - iaitu tindakan menyediakan dana atau perkhidmatan untuk menyokong pembangunan senjata nuklear, kimia atau biologi - semakin menjadi kebimbangan utama dalam usaha memerangi jenayah kewangan.

Beliau menyarankan supaya institusi-institusi kewangan untuk sentiasa berada di hadapan dalam menghadapi ancaman dan cabaran pembiayaan percambahan melalui penilaian risiko yang ketat, memanfaatkan teknologi dan meningkatkan kerjasama antarabangsa bagi mengekalkan integriti dan keselamatannya.

Beliau berkata Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) - sebuah badan pemantau kewangan yang berpengaruh - telah mewajibkan semua negara dan institusi kewangan menjalankan penilaian risiko yang menyasarkan pembiayaan percambahan.

"Dari segi kerjasama antarabangsa, FATF menetapkan piawaian yang sangat penting untuk semua negara. Sementara itu, bagi setiap negara, badan kawal selia perlu memastikan yang mereka mematuhi piawaian tersebut.

"Kerjasama antarabangsa adalah penting dalam menyiasat kes-kes pelanggaran. Sebagai contoh kenakan sekatan. Adalah sangat penting untuk mempunyai saluran serantau dan antarabangsa yang baik dan berkesan bagi berkongsi maklumat berkaitan pelanggaran sekatan," katanya.

Brewer juga menekankan pentingnya ketekunan wajar yang teliti dalam mengesan potensi ancaman pembiayaan percambahan.

Beliau berkata AI juga boleh digunakan untuk menganalisis tingkah laku pelanggan yang menunjukkan aktiviti sedemikian, namun, peralatan AI mesti disesuaikan secara khusus untuk menangani pembiayaan percambahan.

Brewer menambah banyak kes pembiayaan percambahan melibatkan syarikat perdagangan kecil, yang menekankan perlunya untuk penelitian yang lebih tinggi dalam bidang itu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan