EKONOMI > BERITA

BNM Lantik Yogeesvaran Kumaraguru Sebagai Ahli Luar MPC

26/08/2024 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan Datuk Yogeesvaran Kumaraguru sebagai ahli luar Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa 1 Sept, 2024.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata beliau merupakan ahli ekonomi terkemuka yang mempunyai pengalaman 27 tahun di Unit Perancang Ekonomi (EPU) sebelum menyertai Kementerian Perladangan dan Komoditi sebagai Ketua Setiausaha (KSU) pada 2017.

"Saya mengalu-alukan kehadiran Yogeesvaran sebagai ahli baharu MPC. Kepakaran dan pengalaman beliau dalam bidang ekonomi serta penggubalan dasar akan memberikan manfaat kepada perbincangan dan pertimbangan MPC," kata Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour. 

Semasa tempoh perkhidmatan di EPU, beliau terlibat dalam penggubalan beberapa Rancangan Malaysia dan merupakan Ahli Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pakar runding mengenai hal ehwal ekonomi kepada Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009 (CBA 2009), MPC bertanggungjawab merumuskan dasar monetari serta menetapkan dasar-dasar untuk mengendalikan operasi dasar monetari.

CBA 2009 juga memberikan peruntukan kepada pelantikan ahli luar MPC.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan