EKONOMI > BERITA

PHB Umum Pelantikan Raja Arshad Sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Baharu

27/08/2024 11:40 AM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) mengumumkan pelantikan Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif baharu berkuat kuasa 16 Ogos, 2024, susulan persaraan Tan Sri Ahmad Nizam Salleh pada 1 Ogos, 2024.

Dalam kenyataan pada Selasa, PHB menjelaskan sebagai tokoh penting dalam sektor awam dan swasta, Raja Arshad membawa pengalaman luas dalam bidang korporat ke dalam PHB.

“Beliau kini ialah pengerusi kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan pengerusi Bumi Armada Bhd.

“Beliau juga Felo Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW) dan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) serta Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA), dan beliau berkhidmat dalam majlisnya selama 24 tahun, tiga daripadanya sebagai presiden,” jelas PHB.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB Mohamad Damshal Awang Damit berkata pengalaman luas Raja Arshad dalam pengurusan korporat dan kepimpinan institusi akan menjadi aset yang amat berharga PHB.

Pengalaman beliau akan membantu memajukan mandat PHB untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dalam pemilikan aset hartanah komersial utama di Malaysia melalui pengurusan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB), sebuah dana amanah patuh syariah, katanya dalam kenyataan yang sama.

PHB adalah cabang operasi Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB) dan penaja kepada AHB.

Lembaga Pemegang Amanah YAHB dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan