EKONOMI > BERITA

Propek Perniagaan Malaysia Lebih Cerah Pada Suku Ketiga 2024 - DoSM

27/08/2024 02:51 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Semua sektor menjangkakan perspektif perniagaan yang lebih cerah bagi suku ketiga 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menerusi kenyataan Statistik Kecenderungan Perniagaan Suku Tahun Ketiga 2024 yang dikeluarkan pada Selasa, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peniaga menjangkakan persekitaran perniagaan yang menggalakkan di Malaysia bagi suku ketiga 2024.

“Petunjuk keyakinan positif sebanyak +4.7 peratus, meningkat daripada +0.7 peratus pada suku kedua 2024,” katanya dalam kenyataan yang sama.

DOSM menjelaskan petunjuk keyakinan itu menggambarkan bahawa peniaga menjangkakan perspektif perniagaan yang lebih meyakinkan bagi suku ketiga 2024.

“Sentimen peniaga dalam sektor industri kekal menggalakkan dengan +4.1 peratus pada suku rujukan berbanding +5.3 peratus pada suku sebelumnya.

“Sentimen kukuh ini disokong oleh keyakinan positif daripada keempat-empat subsektor industri iaitu elektrik dan air (+23.3 peratus), perlombongan (+6.7 peratus), pembuatan (+2.0 peratus) dan pertanian (+0.6 peratus),” tambah DOSM.

Menurut jabatan itu, sektor perkhidmatan pula menjangkakan keadaan perniagaan yang bertambah baik dengan petunjuk keyakinan melonjak semula kepada trajektori positif dengan +8.3 peratus daripada -0.9 peratus yang dicatatkan pada suku kedua 2024.

“Anjakan ini didorong terutamanya oleh peningkatan dalam petunjuk keyakinan kesihatan (+40.0 peratus), diikuti oleh insurans (20.6 peratus) dan penginapan (+16.7 peratus),” tambahnya.

DOSM memaklumkan petunjuk keyakinan bagi sektor pembinaan juga bertukar positif dengan catatan +2.2 peratus pada suku ketiga 2024 berbanding -14.8 peratus sebelumnya.

Begitu juga, sentimen bagi sektor perdagangan borong dan runcit bertukar ke landasan positif dengan petunjuk keyakinan mencatatkan +1.4 peratus berbanding -4.1 peratus pada suku sebelumnya.

“Walaupun sektor perdagangan borong dan runcit optimis mengenai persekitaran perniagaan bagi suku ketiga 2024, namun peniaga kecil dan sederhana berwaspada dengan persaingan yang berterusan, termasuk persaingan jualan dalam talian,” jelas jabatan itu.

DOSM menjelaskan berdasarkan prospek perniagaan bagi separuh kedua 2024, peniaga menjangkakan persekitaran perniagaan yang menggalakkan dengan imbangan bersih +23.5 peratus berbanding +14.9 peratus yang dicatatkan untuk tempoh April hingga September 2024.

Sentimen dalam sektor perkhidmatan bertambah baik dengan imbangan bersih +30.8 peratus berbanding +9.5 peratus yang dicatatkan sebelum ini.

“Semua subsektor di bawah sektor perkhidmatan menjangkakan prospek positif untuk enam bulan yang akan datang, dengan subsektor kesihatan, penginapan dan pendidikan paling optimistik,” tambah DOSM.

Pada masa sama, sektor industri menjangkakan keadaan perniagaan yang menggalakkan dengan imbangan bersih +23.2 peratus berbanding +25.6 peratus yang direkodkan sebelumnya.

Bagi sektor pembinaan, prospek kekal cerah bagi tempoh enam bulan akan datang, dengan imbangan bersih +21.7 peratus berbanding +3.7 peratus yang dicatatkan sebelum ini.

“Sektor perdagangan borong dan runcit bertukar optimistik terhadap situasi perniagaan bagi enam bulan akan datang berakhir Disember 2024, dengan imbangan bersih +13.4 peratus berbanding -1.5 peratus sebelumnya,” menurut DOSM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan