EKONOMI > BERITA

FGV Kembali Untung Pada Suku Kedua Dengan Untung Bersih RM86.37 Juta

27/08/2024 03:57 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- FGV Holdings Bhd kembali mencatatkan keuntungan pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2024 dengan untung bersihnya naik kepada RM86.37 juta berbanding kerugian bersih RM12.89 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Hasil meningkat 23 peratus kepada RM5.51 bilion daripada RM4.49 bilion, dipacu oleh harga purata minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi pada RM4,103 setan dan peningkatan dalam jumlah jualan MSM, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Bagi separuh pertama 2024, FGV mencatatkan keuntungan bersih RM72.88 juta, peningkatan yang ketara daripada kerugian bersih RM805,000 yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil juga meningkat kepada RM10.06 bilion berbanding RM9.08 bilion pada separuh pertama tahun kewangan 2023.

Bahagian perladangan FGV mencatatkan keuntungan RM100.55 juta pada suku itu berbanding kerugian sebanyak RM61.64 juta pada tahun sebelumnya disebabkan pengeluaran tandan buah segar (TBS) yang meningkat sebanyak 23 peratus kepada 0.96 juta metrik tan daripada 0.78 juta metrik tan bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Ini menyebabkan hasil yang lebih tinggi sebanyak 3.76 metrik tan sehektar, meningkat daripada 2.91 metrik tan sehektar pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Bahagian logistik dan sokongan melaporkan keuntungan RM37.51 juta, meningkat daripada RM23.22 juta pada suku yang sama tahun lepas, disokong oleh peningkatan dalam jumlah tan dan kadar pengendalian yang lebih baik bagi operasi pengangkutan dan pukal.

Bagaimanapun, bahagian minyak dan lemak mencatatkan keuntungan yang lebih rendah kepada RM67.53 juta, berbanding RM76.34 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023, disebabkan pengurangan margin dalam segmen komoditi pukal walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah jualan.

Bahagian gula pula melaporkan kerugian lebih besar kepada RM30.35 juta berbanding kerugian RM13.75 juta pada suku yang sama tahun lepas.

"Walaupun hasil lebih tinggi disebabkan harga purata jualan yang lebih tinggi dan insentif untuk gula bungkusan tertentu yang dijual di pasaran domestik, tetapi kerugian didorong oleh kos input yang tinggi, terutamanya untuk gula mentah dan pengangkutan serta kelemahan ringgit walaupun penggunaan kapasiti bertambah baik," tambahnya.

Melangkah ke hadapan, FGV berkata ia akan terus mengutamakan inisiatif peningkatan hasil daripada operasi perladangannya dengan memantau rapi proses penuaian tanaman dan memperluaskan mekanisasi untuk pemunggahan TBS yang lebih cekap.

Kumpulan itu juga kekal berhati-hati terhadap bahagian gulanya berikutan ketegangan geopolitik yang meningkat, yang boleh meningkatkan kos input dan memberi kesan kepada prestasi kewangan.

Selain itu, FGV berkata bahagian logistik dan sokongannya menyasarkan untuk memacu pertumbuhan melalui kerjasama strategik dalam logistik dan teknologi, dengan memberi tumpuan kepada pengembangan dan pendigitalan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan