EKONOMI > BERITA

Untung Bersih Tahun Kewangan 2024 Sime Darby Melonjak Kepada RM3.31 Bilion

27/08/2024 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Sime Darby Bhd meningkat lebih dua kali ganda kepada RM3.31 bilion pada Tahun Kewangan 2024 daripada RM1.46 bilion tahun lepas disumbang sebahagian besarnya daripada keuntungan RM2 bilion penjualan Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH).

Sime Darby berkata, tidak termasuk item sekali sahaja, keuntungan bersih teras kumpulan meningkat 14 peratus kepada RM1.3 bilion pada Tahun Kewangan 2024 disumbang daripada keuntungan tinggi perniagaan perindustriannya di Australia serta sumbangan sulung daripada bahagian UMW.

Prestasi ini dicapai di tengah-tengah peningkatan kukuh jualan peralatan dan sokongan produk, perniagaan motor di Malaysia, Singapura dan Taiwan, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini. 

Perolehan melonjak 39 peratus kepada RM67.13 bilion pada Tahun Kewangan 2024 berbanding RM48.29 bilion pada Tahun Kewangan 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Jeffri Salim Davidson berkata prestasi kukuh Sime Darby itu menunjukkan keteguhan portfolio perniagaannya yang pelbagai, merentas pelbagai pasaran meskipun berdepan cabaran besar sepanjang tahun tersebut.

“Tahun kewangan ini merupakan tahun yang sibuk bagi kumpulan dari segi pengambilalihan. Kami menyelesaikan pengambilalihan Cavpower dan UMW,” katanya.

Mengenai penjualan RSDH, beliau berkata ia menandakan berakhirnya operasi penjagaan kesihatan kumpulan yang membolehkan syarikat itu menumpu untuk mengembangkan perniagaan motor dan industri terasnya.

Bagi suku keempat yang baru berakhir, kumpulan mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM89 juta daripada RM622 juta manakala perolehan meningkat 41.4 peratus kepada RM18.79 bilion berbanding RM13.29 bilion setahun lalu.

Keuntungan bersih yang lebih rendah itu disebabkan terutamanya rosot nilai sekali dan kemerosotan dan peruntukan kepada bahagian motor, kerugian operasi motornya di China, kos kewangan lebih tinggi dan peruntukan cukai tertunda.

Dalam makluman kepada  Bursa Malaysia, Sime Darby berkata keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) bagi bahagian motor menyusut 98.4 peratus kepada RM9 juta pada Suku Keempat disebabkan terutamanya rosot nilai sekali dan peruntukan RM229 juta manakala dalam tempoh yang sama sebelumnya termasuk keuntungan penjualan hartanah bernilai RM179 juta.

Rosot nilai sekali dan peruntukan itu termasuk yang berkaitan dengan penutupan operasi dan rosot nilai aset yang menjana nilai.

Tidak termasuk item ini, PBIT susut 36.7 peratus terutamanya disebabkan kerugian operasi motornya di Tanah Besar China dan pendapatan dividen yang lebih rendah.

Pada suku tersebut, PBIT disumbang terutamanya daripada perniagaan automotif.

Sementara itu, PBIT bagi UMW, bahagian ketiga kumpulan tersebut berjumlah RM171 juta bagi suku tersebut, dengan perniagaan automotif menjadi penyumbang utama.

Jeffri berkata Tahun Kewangan 2024 terbukti menjadi tahun yang amat mencabar bagi operasinya di China.

“Bagaimanapun, kami optimis dengan prospek jangka panjang China dan terus memantau operasi kami di sana untuk memastikan kami berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan trend dan peluang yang sedang muncul,” katanya.

Sime Darby mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 10 sen sesaham bagi suku keempat, menjadikan jumlah pembayaran dividen untuk Tahun Kewangan 2024 kepada 13 sen sesaham atau RM886 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan