EKONOMI > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Cecah Paras Tertinggi Dalam Tempoh 44 Bulan

27/08/2024 07:37 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Indeks petunjuk utama Bursa Malaysia menokok 0.81 peratus untuk ditutup mencecah paras tertinggi dalam tempoh 44 bulan pada Selasa, dipacu oleh sentimen positif susulan pendapatan kukuh sektor perkhidmatan kewangan, kata penganalisis.

Peningkatan pasaran tempatan yang memberangsangkan itu dicatat di tengah-tengah prestasi serantau yang bercampur-campur menjelang pengumuman indeks perbelanjaan penggunaan peribadi Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat bagi mendapatkan petunjuk pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.

Pada akhir dagangan hari ini, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (KLCI) menokok 13.33 mata kepada 1,652.29 daripada 1,638.96 semalam.

Prestasi hari ini juga adalah yang tertinggi sejak penutupan sesi dagangan pada 21 Dis, 2020 di paras 1,647.89.

Indeks penanda aras itu dibuka naik 0.20 mata kepada 1,639.16, paras terendah harian yang kemudiannya mencecah paras tertinggi harian 1,653.12 pada sesi dagangan petang.

Namun, di pasaran secara meluas menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 640 berbanding 476, 452 kaunter tidak berubah, 958 tidak didagangkan manakala 25 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.18 bilion unit bernilai RM3.19 bilion daripada 2.82 bilion unit bernilai RM2.62 bilion, semalam.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan menyifatkan prestasi bursa hari ini diterajui oleh sektor berkaitan rantaian bekalan pusat data seperti telekomunikasi serta pembinaan.

Beliau berkata sektor pembinaan mempamerkan aliran peningkatan memandangkan tempoh yang lebih tepu pada minggu lepas.

“Melangkaui naratif berkaitan pusat data, kami menjangkakan pemulihan industri pembinaan yang ketara," katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata faktor itu akan turut disokong oleh jangkaan pelancaran projek Laluan Lingkaran Transit Aliran Massa 3 (MRT3) pada 2024/2025 selain inisiatif tebatan banjir dilaporkan bernilai RM13 bilion.

Pada masa sama, katanya, pasaran pembinaan sektor swasta juga rancak, didorong oleh pelaburan besar dalam semikonduktor baharu dan pusat data tambahan.

Indeks pasaran serantau mencatat prestasi bercampur-campur di tengah-tengah penurunan semalaman Wall Street yang ketara dengan saham teknologi terjejas apabila pedagang bertindak menyelaras semula portfolio masing-masing menjelang pengumuman pendapatan Nvidia Corp bagi menilai kekukuhan sektor berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura menambah 0.07 peratus kepada 3,398.47; Hang Seng Hong Kong meraih 0.43 peratus kepada 17,874.67; Nikkei Jepun meningkat 0.47 peratus kepada 38,288.62 manakala Kospi Korea Selatan sebaliknya turun 0.32 peratus kepada 2,689.25.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata saham-saham tenaga pula meningkat selepas kerajaan timur Libya mengumumkan penggantungan eksport.

“Walaupun sentimen kekal berhati-hati, kami percaya ekuiti Malaysia terus menawarkan potensi menggalakkan kerana dilihat murah selain prestasi pendapatan korporat yang bertambah baik.

“Bagaimanapun dalam masa terdekat ini, indeks petunjuk utama itu berkemungkinan dalam mod konsolidasi seiring sentimen dagangan berhati-hati berikutan ketidaktentuan global dan ketegangan geopolitik Timur Tengah yang meruncing,” katanya.

Susulan itu, Thong menjangkakan FBM KLCI mendatar dengan kecenderungan meningkat dalam julat 1,640-1,660 bagi tempoh berbaki minggu ini.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik 16 sen kepada RM10.70; Public Bank menambah 17 sen kepada RM4.68; CIMB menokok empat sen kepada RM7.93 manakala Tenaga kekal pada RM13.92 dan IHH susut satu sen kepada RM6.30.

Bagi saham aktif, Notion susut 19 sen kepada 89 sen; Elridge turun satu sen kepada 44 sen; Cape EMS kerugian dua sen kepada 36.5 sen manakala Velesto naik separuh sen kepada 22 sen dan MYEG tidak berubah pada 90 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas menambah 68.43 mata kepada 12,420.74; Indeks FBMT 100 menokok 78.04 mata kepada 12,110.56 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 32.48 mata kepada 12,325.10.

Indeks FBM 70 pula meraih 41.41 mata kepada 17,766.99 manakala Indeks FBM ACE turun 17.23 mata kepada 5,189.94.

Bagi sektor, Indeks Perladangan turun 7.72 mata kepada 7,214.66, Indeks Tenaga susut 11.44 mata kepada 946.88 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.64 mata kepada 183.53 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 237.98 mata kepada 19,278.85.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.74 bilion unit bernilai RM2.90 bilion daripada 1.49 bilion unit bernilai RM2.35 bilion, semalam.

Selain itu, waran menokok kepada 956.31 juta unit bernilai RM122.95 juta daripada 889.14 juta unit bernilai RM118.08 juta, sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 487.62 juta saham bernilai RM165.72 juta daripada 435.91 juta saham bernilai RM150.23 juta, semalam.

Prestasi kaunter menyaksikan kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 218.60 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (328.19 juta); pembinaan (100.27 juta); teknologi (281.27 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (161.49 juta); hartanah (220.15 juta); perladangan (24.44 juta); REIT (9.45 juta); dana tertutup (49,600); tenaga (182.91 juta); penjagaan kesihatan (49.57 juta); telekomunikasi dan media (38.89 juta); pengangkutan dan logistik (58.84 juta); utiliti (66.65 juta) manakala amanah perniagaan (93,500).

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan