EKONOMI > BERITA

Kerjaya Prospek Tumpu Projek Dengan Nilai Kontrak Minimum RM700 Juta

27/08/2024 08:10 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Kerjaya Prospek Group Bhd akan hanya memberi tumpuan kepada projek pembinaan baharu yang mempunyai nilai kontrak minimum RM700 juta. 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Tee Eng Tiong berkata kumpulan itu perlu menjalankan penilaian risiko dan menilai potensi sebelum membuat keputusan untuk membida sesuatu projek.

“Kami perlu selektif. Jika nilai kontrak minimum terlalu kecil, ia tidak begitu kompetitif. Selain itu, masa perlu diambil kira berikutan kami sentiasa mempunyai projek yang berterusan.

"Kami juga harus merancang sumber kami dengan teliti dan menganalisis risiko yang terlibat," katanya kepada media semasa taklimat keputusan suku kedua 2024 kumpulan di sini hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tee berkata setakat ini Kerjaya Prospek telah meraih kontrak baharu bernilai RM1.3 bilion termasuk kontrak utama bernilai RM275.3 juta daripada Persada Mentari Sdn Bhd.

“Kami kekal fokus untuk memberikan nilai luar biasa kepada pemegang saham kami dan optimis untuk mendapatkan lebih banyak kontrak pada baki bulan 2024,” katanya.

Sementara itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kerjaya Prospek mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM37.08 juta untuk suku kedua 2024 berakhir 30 Jun 2024, daripada RM31.57 juta setahun lepas.

Hasil meningkat kepada RM395.41 juta pada suku tersebut berbanding RM309.28 juta sebelum itu, terutamanya disebabkan peningkatan kemajuan kerja-kerja pembinaan. 

Kumpulan itu berkata projek pembangunan dalam segmen pembangunan hartanahnya menyumbang secara positif kepada keputusan syarikat.

"Bagi suku kewangan dalam tinjauan, sumber pendapatan utama bagi segmen pelaburan ialah pendapatan faedah," katanya.

Sementara itu, bagi separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2024 Kerjaya Prospek mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM70.64 juta berbanding RM60.98 juta pada separuh pertama 2023 manakala hasil meningkat kepada RM732.55 juta daripada RM606.52 juta sebelumnya.

Mengenai prospek untuk 2024, kumpulan itu akan terus memantau dan melaksanakan strategi perniagaan yang sesuai tepat pada masanya untuk menangani cabaran, seperti turun naik ringgit, kekurangan tenaga mahir dan kos bahan yang meningkat.

“Kumpulan terus disokong oleh nilai perolehan kontrak tertunggak sebanyak RM4.3 bilion untuk kontrak pembinaan pada 30 Jun, 2024,” katanya.

Kerjaya Prospek telah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat kedua sebanyak 2.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024, yang akan dibayar pada 9 Okt 2024, menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan setakat ini bagi tahun kewangan semasa kepada 5.0 sen sesaham, berjumlah RM63.1 juta.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan