EKONOMI > BERITA

Kerajaan Akan Perkenal Akta Iltizam Kecekapan, Kurangkan Kerenah Birokrasi - Rafizi

27/08/2024 08:12 PM

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan memperkenal Akta Iltizam Kecekapan Kerajaan bagi mengurangkan kerenah birokrasi serta prosedur tertentu dalam urusan perniagaan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada bulan ini bersetuju supaya diperkenalkan satu akta yang akan memberi garis panduan atau parameter kepada kerajaan untuk memudah cara karenah birokrasi.

Menurut Rafizi, akta tersebut dijangka dibentangkan di Parlimen pada penghujung tahun ini. 

“Keputusan kerajaan (melalui MTEN) adalah komitmen untuk memudah cara perniagaan, kita akan mengambil langkah melalui satu akta.

“Akta ini akan memberi garis panduan ataupun parameter kepada kerajaan mengenai komitmen kita untuk memudah cara kerenah birokrasi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan 2024 OECD Economic Surveys Malaysia, di sini, hari ini.

Rafizi berkata antara faktor yang membawa kepada pengenalan akta itu adalah disebabkan peraturan yang melibatkan perniagaan di Malaysia biasanya rumit dan mengambil masa yang panjang.  

“Jadi bila kita bandingkan, contohnya tempoh masa yang diperlukan untuk menubuhkan sebuah syarikat di Malaysia (adalah lebih lama) berbanding dengan negara-negara jiran yang dilihat lebih tangkas. 

“Begitu juga, contohnya, jumlah prosedur yang perlu dipatuhi untuk mendaftarkan perniagaan pun banyak,” katanya.

Beliau berkata Akta Iltizam Kecekapan Kerajaan itu selari dengan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang diperkenalkan tahun lepas. 

“Akta tersebut menetapkan, contohnya, garis sempadan dari segi (berapa) fiskal defisit, tidak boleh lebih. Hutang berapa, tak boleh lebih, dan perbelanjaan pembangunan sekurang-kurangnya tiga peratus.

“Dari segi Akta Iltizam Kecekapan Kerajaan konsepnya sama iaitu meletakkan garis kecekapan yang perlu dipatuhi kerajaan dan perlu dibincangkan di Parlimen,” katanya.

Mengenai OECD Economic Surveys Malaysia, beliau berkata, laporan ekonomi yang dikeluarkan OECD membolehkan Kementerian Ekonomi dan agensi lain melakukan penanda aras dalam sektor tertentu.

Menurutnya, semasa perbincangan awal dengan OECD tahun lepas Kementerian Ekonomi meminta agar dilakukan penelitian mendalam termasuk membandingkan dasar dan amalan di negara lain berkenaan dengan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Dapatan ini sudah tentu akan digunakan untuk kita merangka pertamanya Rancangan Malaysia ke-13 dan keduanya, untuk kita merangka dasar dan program khusus dalam sektor yang melibatkan PMKS,” katanya. 

Mengenai cadangan untuk memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Rafizi berkata, dasar ketika ini telahpun memberi keyakinan kepada pasaran dan pelabur bahawa kerajaan serius untuk meneruskan tumpuan mengukuhkan fiskal.

“Sebarang tindakan lain ataupun dasar lain, itu sudah tentu dipertimbangkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan