EKONOMI > BERITA

TNB Meterai PPA Bersama Prai Power, Panglima Power

27/08/2024 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini memeterai perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan anak syarikat Malakoff Corporation Bhd, Prai Power Sdn Bhd, dan Panglima Power Sdn Bhd.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, TNB berkata Prai Power akan terus mengendalikan dan menyelenggara loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) 350 megawatt (MW) di Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang, dalam kawasan Stesen Janakuasa Prai manakala Panglima Power akan terus mengendalikan dan menyelenggara kemudahan CCGT 710MW di Teluk Gong, Alor Gajah, Melaka.

Menurut makluman itu, PPA itu menetapkan pihak-pihak untuk menjual dan membeli tenaga yang dijana daripada kemudahan itu selama setahun dengan pilihan untuk pelanjutan tambahan setahun (tertakluk kepada keperluan sistem) dari tarikh operasi komersial.

Ia dijangka beroperasi 1 Sept ini bagi Prai Power dan 15 Sept untuk Panglima Power, mengikut terma dan syarat yang dipersetujui dan ditetapkan dalam PPA masing-masing.

TNB berkata pemeteraian PPA itu tidak akan menjejaskan modal saham terbitan dan berbayar serta pegangan saham pemegang saham utama TNB, serta tidak akan menjejaskan pendapatan TNB sepanjang tempoh PPA memandangkan kos penjanaan telah diluluskan sepenuhnya di bawah mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Malakoff Corporation berkata kemudahan yang akan beroperasi bermula 1 Sept itu akan memastikan bekalan tenaga yang stabil dan boleh dipercayai bagi memenuhi permintaan semasa yang semakin meningkat sambil mengukuhkan keselamatan tenaga dengan margin rizab yang selamat dan mencukupi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulannya Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata pelaksanaan PPA baharu untuk Loji Janakuasa Prai ini adalah penyelesaian paling berdaya maju dari segi ekonomi dan terpantas untuk menyokong grid nasional sambil membolehkan kilang itu meneruskan operasinya dalam baki hayat perkhidmatannya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan