EKONOMI > BERITA

Untung Bersih Suku Kedua Genting Plantations Meningkat Kepada RM85.12 Juta

28/08/2024 07:28 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Genting Plantations Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 meningkat kepada RM85.12 juta daripada RM70.97 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, didorong oleh penigkatan dalam segmen perladangan.

Hasil, bagaimanapun, turun enam peratus kepada RM757.16 juta daripada RM805.95 juta sebelumnya, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2024, kumpulan itu mencatat keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM127.95 juta berbanding RM109.78 juta manakala hasil merosot sedikit kepada RM1.36 bilion daripada RM1.39 bilion.

Hasil lebih rendah tahun ke tahun untuk suku kedua 2024 dan separuh pertama 2024, disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah dalam segmen pembuatan hiliran, sebahagiannya dikurangkan oleh harga produk sawit yang lebih tinggi.

Harga minyak sawit mentah pula mencecah RM3,797 satu tan dan RM3,721 satu tan, masing-masing pada suku kedua 2024 dan separuh pertama 2024 manakala harga isirung sawit suku kedua 2024 dan separuh pertama 2024 ialah masing-masing pada RM2,229 satu tan dan RM2,154 satu tan.

“Pengeluaran tandan buah segar (FFB) kumpulan bagi kedua-dua tempoh adalah sedikit lebih rendah tahun ke tahun, terutamanya disebabkan oleh taburan hujan yang tinggi dan trend penanaman yang rendah.

“Selain itu, program penanaman semula yang berterusan di Malaysia telah menyebabkan pengurangan kawasan penuaian,” kata makluman itu.

Ia mengumumkan dividen interim satu peringkat sebanyak lapan sen sesaham biasa dan dibayar pada 30 Sept 2024.

Mengenai prospek, kumpulan menjangkakan prestasi segmen perladangan utamanya untuk sepanjang tahun ini bergantung terutamanya pada pergerakan harga produk sawit dan pengeluaran FFB kumpulan.

"Tanpa mengambil kira keadaan cuaca yang luar biasa, kumpulan menjangkakan peningkatan pengeluaran FFB bagi separuh kedua 2024 melonjak berbanding separuh pertama 2024.

“Walaupun pemulihan tanaman pada separuh kedua 2024, pengeluaran untuk tahun penuh 2024 dijangka setanding atau lebih rendah sedikit daripada tahun sebelumnya,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan