EKONOMI > BERITA

KPJ Healthcare Catat Untung Bersih RM75.88 Juta Bagi Suku Kedua

28/08/2024 08:13 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- KPJ Healthcare Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM75.88 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2024, meningkat daripada RM46.88 juta yang suku sama tahun kewangan 2023.

Perolehan turut melonjak sebanyak 18 peratus kepada RM930.56 juta daripada RM785.36 juta bagi tempoh yang sama.

“Prestasi ini didorong oleh peningkatan kadar penghunian katil (BOR) daripada pertambahan kunjungan pesakit dan kapasiti katil pada suku itu,” jelasnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu.

Penyedia kepakaran dalam penjagaan kesihatan itu menjelaskan segmen Malaysia menyumbang kira-kira 98 peratus daripada jumlah perolehan, iaitu RM914.2 juta pada suku kedua, mewakili peningkatan 19 peratus daripada RM770.5 juta yang dicatatkan pada suku kedua tahun kewangan 2023.

KPJ Healthcare juga mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak satu sen sesaham, yang boleh bayar pada 4 Okt, 2024.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2024, keuntungan bersih syarikat meningkat kepada RM147.27 juta daripada RM98.27 juta pada tempoh sama tahun kewangan 2023, manakala perolehan naik 15 peratus kepada RM1.84 bilion daripada RM1.60 bilion.

KPJ Healthcare menambah, bagi prospek, pihaknya akan terus melaksanakan inisiatif strategik termasuk pengoptimuman aset, pertambahan katil dan pengambilan bakat.

“Syarikat terus menghadapi landskap bakat yang kompetitif dalam industri penjagaan kesihatan, manakala tekanan kos dijangka kekal dalam tempoh terdekat.

“Kami optimis namun berhati-hati mengenai prospek kami untuk tahun kewangan semasa yang berakhir 31 Dis, 2024,” menurutnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan