EKONOMI > BERITA

Keuntungan Bersih QL Resources Melonjak Kepada RM107.43 Juta

28/08/2024 09:32 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih QL Resources Bhd melonjak kepada RM107.43 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2024 (suku pertama tahun kewangan 2025) daripada RM92.81 juta yang dicatatkan semasa tahun sebelum ini disebabkan peningkatan jualan dalam segmen rangkaian kedai serbaneka (CVS).

Kumpulan perniagaan asas tani bersepadu melalui satu kenyataan berkata pendapatan menokok kepada RM1.62 bilion berbanding RM1.60 bilion sebelumnya.

Jualan bagi segmen kedai serbanekanya pada suku dalam tinjauan bertambah sebanyak 22 peratus kepada RM309.82 juta daripada RM254.83 juta berikutan peningkatan bersih sebanyak 35 kedai dan 35 cawangan Mini FM dalam tempoh tersebut selain purata jualan kedai yang lebih baik.

“Keuntungan sebelum cukai bagi segmen kedai serbaneka, yang menjalankan kedai Family Mart di Malaysia, naik 77 peratus kepada RM20.50 juta berbanding suku yang sama tahun lalu disebabkan margin yang lebih baik daripada kenaikan jualan kedai, yang dibantu oleh sentimen pengguna yang agak baik daripada Skim pengeluaran Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan perayaan bermusim,” katanya.

Keuntungan sebelum cukai dalam tunjang utamanya iaitu penternakan bersepadu, melonjak lapan peratus daripada peningkatan prestasi dalam operasi lapisan di Malaysia, disokong oleh kos makanan yang lebih rendah, subsidi kos telur termasuk sumbangan daripada ladang lapisan yang baru diperolehi dan operasi pertanian Vietnam yang lebih baik.

“Mengenai prospek, kumpulan berhati-hati secara positif bahawa prestasi akan kekal memuaskan menjelang suku akan datang dengan subsidi kos telur yang berterusan serta mekanisme harga siling yang disemak di Malaysia walaupun konflik di Timur Tengah masih berterusan, perang perdagangan Amerika Syarikat-China dan unjuran ekonomi global yang tidak menentu,” kata makluman tersebut.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan