EKONOMI > BERITA

Untung Bersih IJM Corporation Turun Kepada RM86.88 Juta Pada Suku Pertama

28/08/2024 10:00 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- IJM Corporation Bhd (IJM) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah iaitu RM86.88 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun, 2024, berbanding RM100.64 juta pada suku sama tahun kewangan 2024.

Bagaimanapun, perolehan meningkat 14.6 peratus kepada RM1.40 bilion daripada RM1.23 bilion bagi tempoh sama, terutama didorong oleh peningkatan dalam segmen pembinaan, infrastruktur-pelabuhan, pelaburan, dan segmen lain.

“Perolehan pembinaan bagi suku pertama tahun kewangan 2025 melonjak sebanyak 76.0 peratus berbanding angka yang dicatatkan semasa suku pertama tahun kewangan 2024.

“Ini dipacu terutama oleh peningkatan aktiviti kerja pembinaan sejajar dengan nilai perolehan kontrak dalam tangan yang lebih tinggi,” jelasnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu.

 IJM berkedudukan baik untuk merekodkan prestasi lebih positif bagi tahun kewangan 2025 memandangkan bahagian pembinaan akan menumpukan pelaksanaan dan penyiapan tepat pada masanya bagi kontrak yang diperoleh bernilai RM6.5 bilion.

“Nilai perolehan kontrak dalam tangan meningkat sebanyak RM1.3 bilion pada suku itu, meliputi fasa satu Siliconware Precision Industries, Pusat Data Iskandar Puteri serta Plot A United Logistic Hub.

“Berdasarkan nilai perolehan kontrak yang ada dan kemungkinan berjaya membida kerja-kerja seterusnya pada tahun kewangan 2025, bahagian ini dijangka menunjukkan prestasi lebih baik dalam tahun kewangan ini,” menurutnya.

IJM menjelaskan berdasarkan nilai jualan belum dibilkan kira-kira RM2.3 bilion dan pelancaran hartanah baharu yang dijadualkan bagi tahun kewangan 2025, bahagian hartanah juga berkedudukan baik untuk mengekalkan prestasi memberangsangkan.

“Berdasarkan nilai perolehan kontrak yang terjamin sebanyak 0.9 juta tan dan perancangan projek baharu yang akan dilancarkan di dalam dan di luar negara, bahagian industri bersedia untuk merekodkan prestasi kukuh pada tahun kewangan 2025.” tambahnya.

IJM menjangka perniagaan tol mengekalkan prestasi bagi tahun kewangan semasa manakala perniagaan pelabuhan diunjurkan kekal positif.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Lee Chun Fai berkata prestasi suku pertama menjadi permulaan kukuh bagi tahun kewangan 2025.

“Berlandaskan lembaran imbangan yang teguh, kami berkedudukan baik untuk mencatatkan momentum operasi yang positif.

“Pemerolehan lagi kontrak oleh bahagian pembinaan dan industri kekal memberangsangkan, didorong oleh keyakinan berterusan pengguna dalam pasaran hartanah, jumlah kargo yang tinggi di Pelabuhan Kuantan, dan trafik stabil di konsesi tol kami,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan