EKONOMI > BERITA

Saham IJM Susut 6.73 Peratus Selepas Umum Prestasi Kewangan

29/08/2024 12:13 PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- IJM Corporation Bhd muncul antara kelompok kaunter rugi dalam sesi awal dagangan Khamis dengan susut 6.73 peratus selepas mengumumkan keuntungan bersihnya turun kepada RM86.88 juta dalam suku pertama 2024.

Pada 10.41 pagi, saham IJM turun 21 sen kepada RM2.91 dengan 13.09 juta saham saling berpindah tangan dan meletakkan nilai kumpulan pada RM10.58 bilion.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, IJM berkata keuntungan bersih turun kepada RM86.88 juta dalam suku pertama berakhir 30 Jun, 2024 (suku pertama tahun kewangan 2025), berbanding RM100.64 juta setahun lepas.

Bagaimanapun, perolehannya meningkat 14.6 peratus kepada RM1.40 bilion dalam suku di bawah kajian daripada RM1.23 bilion, sebelum ini.

Dalam pada itu, RHB Investment Bank Bhd telah menyemak turun pendapatan IJM bagi tahun kewangan penuh 2025 hingga 2027 susut masing-masing tiga peratus, empat peratus dan empat peratus susulan unjuran lebih konservatif bagi segmen hartanah IJM.

“Kami membawa ke hadapan tahun asas penilaian kami kepada unjuran tahun kewangan 2026 daripada unjuran tahun kewangan 2025. Berikutan itu, kami meletakkan harga sasaran terbitan baharu sebanyak RM4.39 daripada RM4.34," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

RHB Investment turut mengekalkan saranan “beli” ke atas IJM walaupun keuntungan teras syarikat pembinaan itu bagi suku pertama tahun kewangan 2025 adalah RM98 juta yang mengatasi jangkaannya.

Dalam pada itu, Public Investment Bank Bhd pula menyifatkan IJM berada dalam kedudukan baik bagi mencatat prestasi lebih baik pada tahun kewangan 2025, didorong oleh nilai perolehan kontrak dalam tangan serta jangkaan perolehan kerja baharu susulan peluang daripada perbelanjaan prasarana serta pusat data dan sektor hartanah perindustrian.

Kejayaan baharu terkumpul IJM setakat ini berjumlah RM1.9 bilion yang mewakili 37.1 peratus daripada sasaran penambahan nilai kontrak dalam tangan tahun kewangan 2025 sebanyak RM5.0 bilion.

“Kami kekal optimis terhadap IJM kerana percaya pertumbuhan pendapatannya akan disokong oleh prospek positif yang merentasi semua bahagian perniagaan, terutama segmen pembinaan.

"Oleh itu, kami kekal dengan unjuran pendapatan dan saranan “outperform” ke atas IJM dengan harga sasaran sebanyak RM4.20,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan