BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 EKONOMI > BERITA

FMM Unjur Pertumbuhan Ekonomi Melebihi 4.0-5.0 Peratus

29/08/2024 02:20 PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) telah menyemak naik unjuran pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2024, memandangkan momentum pertumbuhan lebih kukuh daripada jangkaan pada suku kedua.

FMM dalam satu kenyataan hari ini berkata jangkaan baharu itu mencadangkan pertumbuhan berkemungkinan melebihi julat sasaran kerajaan iaitu antara 4.0 hingga 5.0 peratus dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disemak semula kepada 5.1 peratus.

“Perbelanjaan pelaburan dan penggunaan swasta juga disemak naik, mencerminkan trajektori pemulihan ekonomi yang kukuh. Ekonomi Malaysia berada pada laluan pemulihan yang baik, didorong oleh eksport kukuh, penggunaan swasta dan pelaburan.

"Walaupun dalam persekitaran ketidaktentuan global, kami menjangkakan ekonomi akan meneruskan aliran pertumbuhan positifnya pada beberapa bulan akan datang tahun ini," katanya.

FMM berkata ekonomi berkembang sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua, kadar pertumbuhan tertinggi sejak suku pertama 2017, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku pertama, dipacu oleh pemulihan kukuh diterajui eksport, permintaan domestik yang stabil dan peningkatan jumlah ketibaan pelancong.

“Pertumbuhan ekonomi Malaysia telah dipacu oleh sektor eksport utuh dengan eksport sebenar meningkat sebanyak 8.4 peratus pada suku kedua. Pertumbuhan ini telah disokong oleh permintaan kukuh untuk komoditi, elektronik dan produk petroleum.

"Sektor pembuatan juga mendapat manfaat daripada pengembangan kapasiti dan penempatan semula, sebahagiannya disebabkan oleh sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap teknologi China," katanya.

Sementara itu, FMM berkata inflasi dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini dengan Bank Negara Malaysia mengunjurkan peningkatan yang boleh dikawal dalam unjuran rasmi antara 2.0 hingga 3.5 peratus.

“Ringgit telah meningkat semula berbanding dolar US, mencapai paras tertinggi 18 bulan dan dijangka mengekalkan aliran menaik dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan