BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 EKONOMI > BERITA

Untung Bersih Suku Kedua IHH Healthcare Melonjak Kepada RM623 Juta

29/08/2024 07:21 PM

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih IHH Healthcare Bhd meningkat kepada RM623 juta pada suku kedua tahun kewangan 2024 berakhir 30 Jun, 2024 daripada RM301 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023.

Prestasi yang kukuh itu dirangsang oleh operasi yang mantap, serta kesan positif kredit cukai tertunda dan keuntungan monetari bersih daripada pelaksanaan MFRS 129, kata kumpulan penjagaan kesihatan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Hasil meningkat sebanyak 30 peratus kepada RM6.09 bilion daripada suku kedua tahun kewangan 2023 sebanyak RM4.67 bilion, dipacu oleh permintaan yang mampan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti, gabungan kes pesakit yang lebih kritikal dan pelarasan harga untuk mengatasi inflasi.

“Hasil bagi hospital dan penjagaan kesihatan untuk suku kedua tahun kewangan 2024 meningkat 18 peratus kepada RM5.72 juta.

"Jumlah hasil daripada makmal pula meningkat sembilan peratus kepada RM439 juta dengan jumlah volum ujiannya meningkat sebanyak 11 peratus kepada RM25 juta," katanya.

IHH Healthcare juga mengisytiharkan dividen tunai interim satu peringkat sebanyak 4.5 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024, yang perlu dibayar pada 30 Okt 2024.

Bagi separuh pertama 2024, keuntungan bersih kumpulan itu menyusut kepada RM1.39 bilion, namun, hasil mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak RM12.05 bilion, hasil peningkatan berterusan dalam jumlah pesakit dan kenaikan hasil merentas semua pasaran.

Mengenai prospek, IHH Healthcare berkata kumpulan itu bersedia untuk memenuhi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti di peringkat tempatan dan serantau.

“Keutamaan strategik kumpulan merangkumi pemacu pertumbuhan organik dan bukan organik, pengembangan perkhidmatan IHH dalam kontinum penjagaan kesihatan, membangunkan enjin pertumbuhan baharu dan memulih aset berprestasi rendah.

"Kumpulan juga akan terus mencari peluang untuk membeli aset strategik," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan