EKONOMI > BERITA

Perolehan Separuh Pertama Wasco Naik 20.9 Peratus Kepada RM1.35 Bilion

30/08/2024 11:49 AM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Perolehan Wasco Bhd meningkat sebanyak 20.9 peratus dalam separuh pertama 2024 kepada RM1.35 bilion daripada RM1.11 bilion dalam tempoh sama setahun lepas, didorong oleh segmen perkhidmatan tenaga selain perkembangan signifikan dalam projek utamanya.

Keuntungan sebelum cukai melonjak 70.5 peratus kepada RM145.5 juta manakala keuntungan bersih mencecah RM106.4 juta.

“Ini jelas memaparkan tumpuan kumpulan terhadap kecekapan operasi dan pelaksanaannya,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wasco Giancarlo Maccagno berkata prestasi pada separuh pertama 2024 itu juga jelas memaparkan keupayaan kumpulan berkenaan dalam memanfaatkan pelbagai saluran perolehan yang merentasi banyak pasaran.

“Pendekatan strategik ini memastikan keupayaan kami serta meletakkan kedudukan bagi kejayaan jangka panjang yang mapan,” katanya.

Maccagno berkata segmen perkhidmatan tenaga juga merupakan pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh nilai kontrak dalam tangan yang kukuh selain pelaksanaan projek yang cekap.

Beliau berkata walaupun terdapat penurunan kecil dalam perolehan dan keuntungan, prestasi perkhidmatan biotenaga Wasco kekal di landasan, dipacu oleh peningkatan permintaan dalam projek dandang biojisim tenaga.

“Menerusi projek baharu yang diraih ini, kami menjangkakan peningkatan ketara prestasi bahagian itu dalam beberapa suku akan datang,” katanya.

Nilai perolehan kontrak kumpulan itu meningkat sebanyak 15 peratus berbanding suku sebelumnya dan mencecah RM3.7 bilion dengan RM3.4 bilion disumbangkan oleh segmen perkhidmatan tenaga.

Selain itu, segmen perkhidmatan biotenaga menyumbang sebanyak RM294.1 juta kepada perolehan kontrak ketika kumpulan terus meneroka peluang pertumbuhan di kawasan khatulistiwa.

Bagi kemajuan masa depan, Maccagno menekankan bahawa tumpuan strategik Wasco adalah untuk memanfaatkan peluang dalam sektor tenaga dan biotenaga.

“Bersandarkan nilai kontrak diraih yang kukuh serta kecemerlangan operasi yang berterusan, kami dalam kedudukan baik untuk mengekalkan pertumbuhan selain memberi nilai kepada pemegang saham ketika mengemudi landskap pasaran yang pesat berkembang," katanya.

-- BERNAMA

 

(Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut).

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan