EKONOMI > BERITA

MAICSA, ASAS Bekerjasama Tingkatkan Tadbir Urus Syariah Dalam Kewangan Islam

30/08/2024 02:57 PM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Institut Setiausaha Berkanun dan Pentadbir Bertauliah Malaysia (MAICSA) akan bekerjasama dengan Persatuan Penasihat Syariah dalam Kewangan Islam Malaysia (ASAS) untuk meluaskan asas pengetahuan dalam komuniti Syariah.

Presiden MAICSA Datuk Akbar Moidunny berkata kerjasama itu melibatkan penasihat Syariah, pegawai Syariah, dan mereka yang terlibat dalam fungsi kawalan Syariah.

“Kerjasama ini bertujuan untuk melengkapkan ahli dengan kepakaran yang diperlukan untuk menyokong dan memajukan kewangan Islam serta menyumbang kepada pertumbuhan berterusan dan mampan sektor itu.

“Selain itu, dengan memanfaatkan kepakaran profesional tadbir urus MAICSA, ASAS boleh meningkatkan piawaian tadbir urus dalam bidang mereka, memastikan institusi patuh Syariah beroperasi dengan tahap integriti dan kecekapan tertinggi,” katanya pada Majlis Makan Malam Tahunan Ulang Tahun Ke-65 MAICSA, Khamis.

MAICSA merupakan sebuah badan profesional utama untuk setiausaha syarikat dan profesional tadbir urus di Malaysia, mempunyai keahlian yang kukuh melebihi 6,000 orang,

Ditubuhkan pada 1959, MAICSA ini merupakan salah satu cawangan terkemuka kepada The Chartered Governance Institute (CGI) UK.

Menurut Akbar, MAICSA terus menetapkan penanda aras kecemerlangan dalam tadbir urus korporat dengan memfokuskan pada meningkatkan pembangunan profesional, menggalakkan tadbir urus yang baik dan memanfaatkan teknologi.

"Ketika Malaysia mengukuhkan kedudukannya di pasaran global, ahli-ahli MAICSA sering menjadi individu pertama yang dihubungi oleh syarikat-syarikat antarabangsa yang ingin membuka perniagaan di Malaysia.

"Kemahiran tinggi mereka dalam tadbir urus korporat adalah penting untuk menelusuri landskap undang-undang di Malaysia termasuk rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat, dalam memastikan proses kemasukan pelaburan asing ke pasaran tempatan berjalan lancar, dan akhirnya memupuk pertumbuhan ekonomi serta membuka peluang baru," katanya.

Beliau berkata setiausaha syarikat dan profesional tadbir urus berfungsi sebagai penasihat pelbagai aspek dan rakan kongsi penting kepada Lembaga Pengarah.

Akbar menekankan bahawa adalah penting bagi mereka untuk menerajui usaha ini dengan menerima idea-idea inovatif dan kekal di hadapan dalam pematuhan korporat yang akan membentuk masa hadapan tadbir urus korporat yang lebih baik di Malaysia.

Semasa acara tersebut, institut juga mengiktiraf pemenang Anugerah Profesional Tadbir Urus Muda MAICSA dan Anugerah Setiausaha Syarikat MAICSA, bertujuan untuk mengiktiraf kecemerlangan individu yang terlibat dalam bidang Setiausaha Syarikat dan Tadbir Urus Korporat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan