EKONOMI > BERITA

Zhuhai CosMX Labur RM1 Bilion Bina Kilang Pembuatan Di Kedah

30/08/2024 04:52 PM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Zhuhai CosMX Battery Co Ltd (Zhuhai CosMX) dari China, pembuat global bagi bateri litium-ion pengguna dan bateri litium-ion berkuasa, mengumumkan akan melabur RM1 bilion untuk membina kilang pembuatan pertama di Kedah.

Dalam kenyataan bersama dengan Zhuhai CosMX dan InvestKedah, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjelaskan pembinaan kilang baharu di bawah Unimx Technology Malaysia Sdn Bhd itu akan dilaksanakan secara berfasa di Taman Perindustarian Kulim Timur, dengan kerja-kerja pecah tanah dijangka bermula pada suku terakhir 2024.

“Pelaburan besar RM1 bilion ini menandakan pencapaian penting dalam strategi pengembangan global syarikat untuk meningkatkan keupayaan pembuatan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam segmen bateri litium-ion di seluruh dunia,” menurut MIDA.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata projek itu dijangka mewujudkan lebih 1,000 pekerjaan selain meningkatkan tenaga kerja mahir dan keupayaan teknologi negara.

“Merevolusikan teknologi bateri bukanlah tugas yang mudah namun, MIDA berbangga dapat menyokong dan memudah cara Zhuhai CosMX dalam usahanya.

“Kepakaran canggih mereka akan memberikan manfaat besar kepada ekosistem tempatan kita. Sebagai rakan, kita komited menyediakan sokongan dan kemudahan yang diperlukan Zhuhai ÇosMX untuk kejayaan projek ini,” katanya.

Beliau berkata MIDA yakin kehadiran syarikat itu akan memberi kesan positif kepada ekonomi dan rakyat.

Sementara itu, Pengerusi Zhuhai CosMX Xu Yanming berkata pelaburan untuk membina kilang bateri litium-ion di Malaysia menandakan langkah penting dalam penempatan strategik global syarikat.

Langkah itu juga sebagai bukti pengiktirafan dan kepercayaan pihaknya terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan, katanya.

Beliau berkata Zhuhai CosMX sentiasa mengamalkan konsep pembangunan hijau dan komited untuk mengurangkan kesan alam sekitar melalui inovasi teknologi dan penambahbaikan industri.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan rakan kongsi dan komuniti Malaysia untuk membina kilang ini menjadi projek model, mencapai kejayaan bukan sahaja dari segi ekonomi malah juga menetapkan piawaian dalam menggalakkan pembangunan mampan,” katanya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pula berkata pelaburan RM1 bilion oleh Zhuhai CosMX jelas mengukuhkan kedudukan Malaysia bukan sahaja sebagai destinasi pelaburan pilihan untuk syarikat berasaskan teknologi malah juga sebagai negara yang serius mengenai pelaksanaan komitmen pelabur secara pantas.

“Pelaburan ini juga sejajar s dengan matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 kita untuk meningkatkan kekompleksan ekonomi perindustrian kita di samping mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat pembuatan dan perkhidmatan utama bagi ASEAN dan Asia,” katanya.

-- BERNAMA

 

TAG: Zhuhai CosMX, bateri litium-ion, MIDA, InvestKedah, Xu Yanming, pembuatan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, Kedah, ASEAN

 


NAMS NAMS HKY ZAZ


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan