EKONOMI > BERITA

Semua PLC Perlu adakan Mesyuarat Agung Secara Hibrid Atau Fizikal Mulai 1 Mac 2025

30/08/2024 05:19 PM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Semua syarikat awam tersenarai (PLC) di Bursa Malaysia perlu mengadakan mesyuarat agung secara hibrid atau fizikal mulai 1 Mac, 2025, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Bhd.

Menerusi kenyataan bersama pada Jumaat, SC dan Bursa Malaysia menjelaskan keperluan itu akan diguna pakai untuk semua mesyuarat agung PLC di Pasaran Utama dan ACE Bursa Malaysia.

Bursa Malaysia akan memberikan butiran lanjut dalam masa terdekat.

Menurut kedua-dua pihak itu, semasa tempoh pandemik COVID-19, PLC dibenarkan menjalankan mesyuarat agung secara maya.

Bagaimanapun, apabila pandemik telah berakhir, lebih daripada 50 peratus PLC didapati masih menjalankan mesyuarat agung tahunan (AGM) secara maya sepenuhnya pada separuh pertama 2024, jelasnya.

Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata walaupun mesyuarat secara maya mencapai matlamatnya semasa pandemik, sudah tiba masanya untuk PLC beralih kepada format mesyuarat secara hibrid atau fizikal.

“Mesyuarat pemegang saham, terutama AGM, adalah sesi penting untuk melibatkan lembaga pengarah dan pengurusan.

“Pelabur domestik dan antarabangsa juga telah menyatakan keutamaan mereka untuk menjalankan mesyuarat secara hibrid atau fizikal. Ini dapat memperkukuh tadbir urus yang baik dengan menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti,” katanya dalam kenyatan yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift pula berkata bursa menyokong penuh pendekatan secara hibrid kerana ia mencapai keseimbangan tepat antara kebolehcapaian dan penglibatan.

Beliau berkata dengan pimpinan melalui teladan, Bursa Malaysia memastikan kebolehcapaian dan keterangkuman yang lebih luas untuk semua pemegang saham, dalam memupuk kepercayaan dan perbincangan yang lebih menarik.

“Mesyuarat secara fizikal memelihara ketelusan hak pemegang saham dan memastikan tiada yang dikecualikan yang disebabkan oleh halangan teknologi.

“Walaupun penyertaan secara maya meningkatkan kebolehcapaian, PLC harus berusaha untuk mengadakan mesyuarat agung secara hibrid atau sekurang-kurangnya secara fizikal,” katanya.

Muhamad Umar berkata ini dapat memastikan penglibatan yang lebih bermakna oleh pemegang saham, melindungi hak pemegang saham dan menegakkan integriti proses mesyuarat agung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan