EKONOMI > BERITA

Malaysia Terus Jadi Pilihan Pelabur Di Asia Tenggara - OBORCC

30/08/2024 05:45 PM

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Kestabilan politik dan keadaan ekonomi yang inklusif menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama pelabur antarabangsa bagi Asia Tenggara, kata Presiden Dewan Perniagaan One Belt One Road (OBORCC) Datuk Seri Tan Thian Lai.

Beliau berkata faktor itu merupakan elemen penting yang mempengaruhi keputusan kalangan pelabur.

“Terdapat beberapa syarikat besar dalam industri kenderaan elektrik (EV) dan teknologi kecerdasan buatan (AI) di China dan Hong Kong yang menyatakan minat kepada OBORCC untuk menjadikan Malaysia sebagai hab mereka di luar China.

“Hal ini kerana Malaysia dilihat sebagai negara yang strategik dari segi geopolitik, tawaran tenaga kerja mahir serta insentif cukai yang dilihat (pelabur) sebagai peluang yang tidak boleh dilepaskan.

“Selain itu, prestasi ringgit yang semakin mengukuh turut menyumbang kepada minat ini,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Baru-baru ini, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata bagi tahun ini sehingga 13 Ogos, 2024, ringgit menambah nilai sebanyak 3.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Ini susulan spread dalam prestasi ringgit menunjukkan kenaikan semula daripada paras-paras sebelumnya, malah pergerakan ringgit kini dalam hala tuju yang tepat, katanya semasa sidang media prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2024.

Setakat hari ini tukaran ringgit bernilai RM4.31 berbanding dolar AS.

Dalam pada itu, Tan berkata antara rancangan yang dikemukakan pelabur kepadanya adalah untuk meningkatkan jumlah stesen pengecas EV di Malaysia serta mewujudkan pusat AI utama di rantau Asia Tenggara.

Beliau berkata berdasarkan keyakinan pelabur, tidak mustahil Malaysia akan kembali sebagai ‘Harimau Asia’ yang lebih digeruni.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan