EKONOMI > BERITA

UEM Lestra Ambil Alih 51 Peratus Kepentingan Dalam NUR Power

30/08/2024 07:02 PM

KULIM, 30 Ogos (Bernama) — UEM Lestra Bhd, anak syarikat milik penuh dan sayap industri hijau UEM Group Bhd (UEM Group) mengambilalih 51 peratus kepentingan dalam syarikat utiliti tenaga bebas (IPU), NUR Power Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Lestra Harman Faiz Habib Muhamad berkata penglibatan strategik UEM Lestra selaku syarikat berkaitan kerajaan menerusi pegangan majoriti tersebut dibuat bersandarkan kepada potensi penciptaan nilai ketara dan keupayaan operasi NUR Power yang boleh dikembangkan.

“Pemilikan kepentingan majoriti dalam NUR ini merupakan sebahagian daripada komitmen RM1.5 bilion yang diperuntukkan UEM Lestra untuk dilaburkan dalam tempoh 24 bulan ke hadapan ke arah dekarbonisasi taman industri di Malaysia.

“Komitmen ini merupakan salah satu usaha UEM Group bagi merancakkan pelaburan tempatan yang akan menjana peluang pekerjaan di samping menarik lebih banyak pelaburan asing ke negara kita,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut beliau, UEM Lestra berhasrat untuk terus menambahbaik keupayaan dan mengembangkan lagi operasi syarikat tempatan seperti NUR serta bersama mereka dalam merintis jalan ke arah usaha yang lebih menyeluruh bagi memacu dekarbonisasi taman industri bermula di Taman Teknologi Tinggi (KHTP) sebelum dikembangkan ke taman industri lain di Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan NUR Power Ikwan Hafiz Jamaludin, menegaskan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi NUR dalam menyediakan kuasa elektrik yang berkualiti tinggi, voltan yang stabil dan boleh dipercayai.

Katanya, model penjanaan teragih NUR Power telah terbukti berjaya menarik pelaburan melebihi RM176.7 bilion di KHTP dan NUR Power komited untuk terus mengembangkan kapasiti penjanaan bagi memenuhi permintaan elektrik di KHTP.

“Ini untuk memastikan kualiti kuasa dikekalkan mengikut piawaian MS 61000-4-34 seperti yang diminta oleh pelanggan terutamanya di dalam industri berteknologi tinggi,” katanya.

Terdahulu, pertukaran dokumen perjanjian antara NUR Power dan UEM Lestra turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Semasa berucap pada Majlis Pelancaran Stesen Jana Kuasa Turbin Gas Kitaran Terbuka 90MW, NUR Power di KHTP di sini hari ini, Fadillah berkata beliau menyambut baik perjanjian yang dimeterai UEM Lestra dan NUR Power itu.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan