EKONOMI > BERITA

Industri Semikonduktor, Projek Pembinaan Akan Terus Sokong Pertumbuhan Separuh Kedua 2024

02/09/2024 02:54 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Trend kenaikan dalam industri semikonduktor dan pelancaran pelbagai projek pembinaan pada separuh kedua 2024 dijangka terus menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).

Dalam nota penyelidikan, MIDF juga menjangkakan pemulihan eksport yang berterusan pada separuh kedua 2024, dipacu oleh permintaan asing untuk produk-produk elektrik dan elektronik (E&E) dan bukan E&E.

“Pertumbuhan eksport meningkat kepada 12.3 peratus tahun ke tahun pada Julai 2024, menandakan pertumbuhan terpantas dalam tempoh lebih 1.5 tahun, dipacu oleh eksport domestik yang lebih kukuh (18 peratus tahun ke tahun), disokong oleh penghantaran minyak sawit dan produk-produk minyak sawit yang lebih tinggi, serta peningkatan semula dalam eksport E&E dan produk-produk petroleum.

"Berdasarkan kepada destinasi eksport, ia berkembang lebih pantas ke destinasi-destinasi utama kecuali China dan Hong Kong," katanya hari ini.

MIDF berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat kepada 5.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2024, menandakan pengembangan terpantas dalam enam suku, berbanding suku pertama 2024 pada 4.2 peratus tahun tahun.

Ia berkata prestasi KDNK yang cemerlang juga mengatasi anggaran awal sebanyak 5.8 peratus tahun ke tahun.

"Bagi separuh pertama 2024, ekonomi berkembang 5.1 peratus tahun ke tahun, lebih kukuh daripada 3.0 peratus tahun ke tahun pada separuh kedua 2023.

"Prestasi kukuh ini didorong oleh daya tahan berterusan dalam permintaan domestik, peningkatan dalam aktiviti-aktiviti pembuatan dan pemulihan dalam perdagangan luar," kata laporan itu.

Sehubungan itu, MIDF menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia berkembang lebih kukuh pada kadar 5.0 peratus tahun ini, memandangkan pertumbuhan yang kukuh pada suku kedua 2024.

"Di sebalik pandangan yang lebih optimistik terhadap gambaran ekonomi domestik, kami akan terus memantau beberapa faktor yang boleh menjejaskan prospek pertumbuhan seperti pertumbuhan China yang lemah, risiko kemelesetan di Amerika Syarikat (AS), ketegangan geopolitik yang meningkat baru-baru ini, serta potensi gangguan kepada rantaian bekalan global dan aliran perdagangan.

"Walaupun inflasi secara amnya terkawal, potensi kenaikan daripada tekanan harga disebabkan perubahan dasar yang dirancang boleh menjejaskan sentimen pengguna dan perbelanjaan mengikut budi bicara mereka," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan