EKONOMI > BERITA

Penyelidikan Jangkakan BNM Kekalkan OPR 3.0 Peratus

02/09/2024 04:51 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Firma penyelidikan menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus menerusi mesyuarat minggu ini.

Moody’s Analytics menjelaskan memandangkan OPR itu masih berada di bawah paras yang dicatatkan pada awal 2019, BNM dijangkakan mengekalkan kadar tersebut sehingga 2025.

“Bank pusat Malaysia akan memaklumkan kemas kini maklumat mengenai penetapan dasar monetarinya pada Khamis.

“Walaupun bank pusat New Zealand dan Filipina telah mengurangkan kadar faedah pada beberapa minggu lepas namun, BNM mungkin mengekalkan OPR pada 3.0 peratus sehingga 2025,” menurutnya dalam Sorotan & Gambaran Keseluruhan Ekonomi Mingguan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM dijadualkan pada 4 dan 5 September ini.

Pada 2019, OPR adalah 3.25 peratus sehingga Mac, sebelum diturunkan lagi kepada 3.00 peratus sehingga Januari 2020.

Kenaikan kadar faedah di Malaysia tidak agresif berbanding di negara lain di rantau ini dan kadar penanda aras di negara ini masih lebih rendah berbanding pada awal 2019 (3.25 peratus), tambahnya.

“Selepas menjadi antara mata wang yang paling teruk prestasinya di Asia tahun lepas, ringgt kini meningkat kukuh dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

“BNM mungkin mahu mengekalkan aliran itu dengan kadar faedah yang stabil,” jelas Moody's Analytics.

Standard Chartered juga berkongsi pandangan yang sama berkata BNM dijangka mengekalkan kadar itu bagi baki tempoh tahun ini, dengan risiko lebih cenderung kepada kenaikan kadar berbanding pengurangan.

“Kami akan meneliti sebarang perubahan ke atas prospek inflasi oleh BNM,” jelasnya dalam nota penyelidikan globalnya.

Standard Chartered menjelaskan BNM juga berkemungkinan mengekalkan pandangannya iaitu pergerakan ringgit didorong oleh faktor luaran.

Kebimbangan mengenai mata wang tempatan telah reda sejak beberapa mesyuarat lepas dalam keadaan ringgit mencapai prestasi lebih baik sejak akhir Februari.

“Penilaian ringgit oleh BNM berubah daripada ‘terkurang nilai’ pada Mac kepada ‘tidak mencerminkan asas’ pada Mei, kepada menyatakan bahawa ‘ia didorong oleh faktor luaran pada Julai’,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan