EKONOMI > BERITA

Penerbangan Ke Incheon Berpatah Balik Ekoran Isu Teknikal - MAS

02/09/2024 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Malaysia Airlines (MAS) mengesahkan bahawa penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan, terpaksa berpatah balik awal pagi ini berikutan isu teknikal berkaitan sistem hidraulik.

Dalam kenyataan hari ini, MAS memaklumkan bahawa penerbangan MH66 yang berlepas ke Incheon hari ini, mengambil langkah berjaga-jaga dengan berpatah balik ke Kuala Lumpur selepas berlepas dan mendarat dengan selamat di Terminal 1 KLIA pada 1.30 pagi.

“Kesemua penumpang telah diberi kemudahan penginapan di hotel dan penerbangan itu dijadualkan semula sebagai MH66D yang akan berlepas pada 8 malam ini. Penerbangan pulang MH67D juga dijadualkan semula dan akan berlepas pada 5.10 pagi (waktu tempatan), 3 Sept. 

“Keselamatan dan kebajikan kesemua penumpang serta anak kapal kekal menjadi keutamaan kami,” menurut MAS. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Norazman Mahmud  memaklumkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada MAS.

“⁠Pihak syarikat (MAS) telah memberikan laporan awal kepada CAAM, bagaimanapun maklumat terperinci mengenai insiden itu perlu menunggu siasatan penuh. Ke⁠semua anak kapal serta penumpang pesawat berkenaan berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu, laporan media menyatakan sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dalam penerbangan dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan dilaporkan telah berpatah balik, awal pagi tadi.

Menurut laman Flightradar24, pesawat MH66 yang menggunakan pesawat Airbus A330-323 itu berlepas dari KLIA pada 12.01 tengah malam tadi sebelum berpatah balik dan selamat mendarat di KLIA beberapa jam kemudian.

Ini merupakan insiden kelima melibatkan penerbangan MAS terpaksa berpatah balik atau dilencongkan dalam tempoh kira-kira sebulan.  

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan